Berita Terkini
SUK, Penasihat Undang-undang NS Jalankan Tugas Selaras Arahan KSN Dan AGC
SEREMBAN, 23 Sept (Bernama) -- Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Muzalmah Mustapha Kamal menjalankan tugas seperti biasa selaras saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Jabatan Peguam Negara (AGC).
Mohd Zafir berkata beliau akur dengan arahan KSN supaya terus berkhidmat dan menjalankan tugas di Negeri Sembilan.
"Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa surat rasmi berhubung penggantungan tugas selain kenyataan media yang dikeluarkan oleh Menteri Besar," katanya kepada Bernama hari ini.
Muzalmah turut menyatakan komitmen yang sama dan hadir bertugas seperti biasa di Wisma Negeri di sini.
“Ya, saya bekerja seperti biasa dan tidak dihalang memasuki pejabat, selagi Peguam Negara mengarahkan saya terus berkerja di sini, saya akan laksanakan tugas seperti biasa, saya juga tidak menerima surat rasmi mengenai penggantungan tugas,” katanya.
Semalam, Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan untuk menggantung tugas Mohd Zafir dan Muzalmah berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim berkata Pegawai Kewangan Negeri Datuk Masri Razali akan menjalankan tugas SUK sehingga penyandang baharu jawatan itu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara manakala peguam bela dan peguam cara Fahmi Adilah akan memberikan nasihat perundangan sehingga Penasihat Undang-Undang baharu dinamakan oleh AGC.
Susulan itu, AGC menerusi satu kenyataan memaklumkan MMKN Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas penyandang jawatan SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri.
AGC memaklumkan perkara berkaitan pelantikan termasuk penggantungan tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri masing-masing terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Rakyat Diingatkan Pelihara, Martabatkan Institusi Raja-raja
- Segerakan Prosiding Mahkamah, Hentikan Polemik Terbuka - Syed Hamid Albar
- Kemelut Negeri Sembilan: Semua Pihak Perlu Hormati UUTKNS - Azalina
- MMK N. Sembilan Tiada Kuasa Gantung Tugas SUK, Penasihat Undang-undang - AGC
- Kemelut Negeri Sembilan Perlu Diselesaikan Ikut Institusi Adat, Sistem Sedia Ada - Ahmad Zahid