Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 24/09/2026 05:36 PM

Berhenti Burukkan Keadaan, Beri Ruang Proses Sah Dalam Pentadbiran N. Sembilan - Fadhlina

Berhenti Burukkan Keadaan, Beri Ruang Proses Sah Dalam Pentadbiran N. Sembilan - Fadhlina
Datuk Seri Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Fadhlina Sidek menyeru semua pihak supaya menghentikan sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan dan memberikan ruang kepada proses yang sah untuk berjalan dalam pentadbiran Negeri Sembilan.

Beliau berkata mempertahankan institusi raja bukan soal keberpihakan politik tetapi adalah tanggungjawab untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan dihormati dan institusi berkenaan terus dimartabatkan.

Menteri Pendidikan itu berkata Wanita KEADILAN memandang serius perkembangan yang berlaku di Negeri Sembilan khususnya tindakan Menteri Besar dan barisan bekas Exco berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

"Malaysia dibina atas kerangka Raja Berperlembagaan... dalam kerangka ini, setiap institusi mempunyai bidang kuasa dan batas yang mesti dihormati... kuasa eksekutif tidak boleh digunakan untuk mengambil alih peranan yang diperuntukkan kepada institusi lain," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata perbezaan mengenai kedudukan Undang atau proses adat hendaklah diselesaikan melalui saluran dan tatacara yang sah, dan sebarang pertikaian tidak boleh menjadi alasan untuk pihak eksekutif mengambil tindakan melangkaui bidang kuasanya.

"Institusi raja tidak boleh ditarik ke dalam percaturan politik atau dijadikan medan pertarungan kuasa… perbezaan boleh berlaku namun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan adat mesti menjadi panduan kepada semua pihak," katanya.

-- BERNAMA