Berita Terkini
MB N.Sembilan Mohon Arahan Larangan Kepada Bekas Exco Dipertimbang Semula
SEREMBAN, 24 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan memohon pihak berkuasa mempertimbangkan semula arahan larangan terhadap bekas ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dibatalkan pelantikannya baru-baru ini daripada memasuki pejabat dan menjalankan semula tugas pentadbiran.
Tanpa memperincikan pihak berkuasa berkenaan, Datuk Ismail Lasim berkata permohonan itu dibuat bagi mengambil kira kepentingan serta urusan berkaitan pentadbiran, peruntukan, pembangunan dan bantuan kepada rakyat tidak terjejas.
“Saya memohon pihak berkuasa yang berkenaan menilai semula arahan tersebut dengan segera, termasuk asas dan skopnya, dengan mengambil kira pertikaian yang masih belum ditamatkan serta keperluan memastikan urusan rakyat dan pentadbiran negeri tidak terganggu,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.
Beliau berkata permohonan itu dibuat melalui saluran yang tertib tanpa membelakangkan peranan pihak berkuasa, khususnya dalam aspek keselamatan.
“Saya menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada kerajaan negeri dan proses perundangan untuk menyelesaikan pertikaian ini. Kerajaan negeri akan terus bertindak secara beradab, menghormati institusi diraja Negeri Sembilan dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Mengulas mengenai larangan dikenakan terhadapnya dan barisan bekas Exco, beliau berkata perkara itu menimbulkan kekesalan, kerana ia dibuat tanpa sebarang arahan bertulis atau perintah mahkamah yang sah.
“Sebab tu saya perlu membuat kenyataan terbuka ni. Saya menyerulah pihak berkuasa ini tanpa alasan ataupun sebab-sebab tertentu dan tanpa arahan bertulis dan sebagainya, saya minta sangat dikaji semula perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Ismail sekali lagi mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa status barisan bekas Exco sedia ada sebagai Exco masih sah di sisi undang-undang dan perlu dibenarkan menjalankan fungsi pentadbiran seperti biasa.
Dalam pada itu, merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kepimpinannya di negeri itu baru-baru ini, Ismail berkata beliau mengambil maklum pendirian itu, namun menekankan teguran berkenaan berkemungkinan berasaskan maklumat yang tidak lengkap.
“Saya khuatir teguran tersebut berasaskan gambaran tidak lengkap tentang peranan sebenar Menteri Besar dan Exco dalam perkara ini.
“Menteri Besar dan Exco tidak membuat keputusan untuk menurunkan atau melantik Yang Dipertuan Besar. MMKN membincangkan pendirian pentadbiran negeri terhadap proklamasi yang dikemukakan sebagai keputusan Undang Yang Empat,” katanya.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Ismail Perlu Jelaskan Siapa Paksa Tandatangan Proklamasi - Tengku Zafrul
- Akur Titah Tuanku Muhriz, Kemukakan Senarai Exco Baharu - AMH Negeri Sembilan
- Berhenti Burukkan Keadaan, Beri Ruang Proses Sah Dalam Pentadbiran N. Sembilan - Fadhlina
- SUK, Penasihat Undang-undang NS Jalankan Tugas Selaras Arahan KSN Dan AGC
- Rakyat Diingatkan Pelihara, Martabatkan Institusi Raja-raja