Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 21/08/2026 06:47 PM

FAMA Perluas Pembukaan Cawangan Kopiesatu Ke Hospital

FAMA Perluas Pembukaan Cawangan Kopiesatu Ke Hospital
fb Kopiesatu

SEREMBAN, 21 Ogos (Bernama) -- Kopiesatu, inisiatif kedai kopi kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kini turut diperluas ke hospital bagi mewujudkan suasana lebih santai kepada petugas dan pengunjung dengan sasaran 13 cawangan dalam premis itu dalam tempoh empat tahun akan datang.

Ketua Pengarah FAMA Faisal Iswardi Ismail berkata setakat ini Kopiesatu beroperasi di Hospital Sungai Buloh dan Cyberjaya, Taiping dan Kota Bharu manakala satu lagi akan dibuka di Kangar, dijangka pada akhir Oktober ini.

Beliau berkata pembukaan cawangan di hospital dilaksanakan susulan permintaan pihak hospital di samping sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung dan penggemar kopi.

"Kami berharap kewujudan cawangan Kopiesatu di premis hospital dapat memberikan sedikit ruang kepada mereka (kakitangan dan pengunjung) untuk berehat sambil menikmati suasana yang lebih santai dengan aroma kopi yang menyenangkan," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan outlet ke-31 Kopiesatu di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu adalah sebahagian daripada usaha FAMA memperluas konsep Kopiesatu bukan sahaja di pasar raya dan premis perniagaan, malah di lokasi strategik termasuk hospital.

Faisal Iswardi berkata cawangan Kopiesatu yang beroperasi sejak 2001 sehingga Julai lepas telah menjana nilai jualan hampir RM5 juta menerusi 31 cawangan di seluruh negara.

"Bagi enam cawangan di seluruh Negeri Sembilan, nilai jualan yang dicatat setakat 31 Julai menunjukkan peningkatan ketara iaitu RM324,493 berbanding RM177,781 pada tahun lepas dan kita mengharapkan nilai jualan akan terus meningkat," katanya.

Menurutnya sebanyak sembilan cawangan lagi dijangka dibuka di seluruh negara pada masa hadapan.

Bagi aspek bekalan, beliau berkata FAMA melaksanakan kontrak pertanian bersama petani di Kampung Toboh, Ranau, Sabah bagi menghasilkan biji kopi hijau sebagai sumber utama bekalan kepada outlet Kopiesatu sekali gus membantu meningkatkan pendapatan petani tempatan.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata FAMA bersedia menghadapi kemungkinan kesan fenomena El Nino atau super El Nino dengan memperkukuh kemudahan logistik termasuk bilik sejuk serta menjadikan 15 daripada 42 pusat operasi di seluruh negara sebagai pusat utama penyimpanan stok dan bekalan makanan.

Beliau berkata pemantauan harga hasil pertanian turut dilakukan pada setiap minggu dan setakat ini harga di peringkat ladang serta runcit berada dalam keadaan stabil dengan peningkatan sekitar dua hingga lima peratus.

-- BERNAMA