Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/08/2026 02:05 PM

Dr Awaludin Dilantik Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan

Dr Awaludin Dilantik Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang baharu Datuk Seri Dr Awaludin Said ketika mengangkat sumpah pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Undangan Negeri hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 18 Ogos (Bernama) -- Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau Datuk Seri Dr Awaludin Said dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-16.

Usul pemilihan Dr Awaludin dicadangkan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dan disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi Datuk Faizal Ramli.

Dr Awaludin, 66, kemudian mengangkat sumpah jawatan di hadapan Setiausaha DUN Mohd Amin Ludin pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan ke-16 di Wisma Negeri di sini.

Terdahulu, Mohd Amin memaklumkan pihaknya menerima permohonan satu pencalonan bagi mengisi jawatan Yang Dipertua DUN.

"Saya menerima satu pencalonan untuk jawatan Yang Dipertua Dewan menurut Peraturan 2, Perintah 7 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. Saya telah pun menerima notis tersebut.

"Tiap-tiap ahli yang hendak mencadangkan nama seorang ahli itu dipilih menjadi Yang Dipertua hendaklah memastikan terlebih dahulu yang ahli itu suka berkhidmat sekiranya dipilih," katanya.

Dr Awaludin pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua DUN pada 2013-2018.

Pada persidangan itu, 35 daripada 36 ADUN turut mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat bagi penggal baharu.

Mereka terdiri daripada 25 ADUN blok kerajaan, masing-masing 18 daripada Barisan Nasional (BN) dan tujuh Perikatan Nasional (PN), serta 11 ADUN blok pembangkang.

Bagaimanapun Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) merangkap Menteri Luar, tidak hadir pada persidangan tersebut atas urusan rasmi dan akan mengangkat sumpah pada hari yang ditetapkan kemudian. 

Persidangan itu turut melantik ADUN Paroi Kamarol Ridzuan Mohd Zain sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN.

Dalam ucapannya, Dr Awaludin mengingatkan semua ADUN meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan serta menterjemahkan mandat diberikan menerusi perkhidmatan yang berkesan.

Beliau berkata kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar pencapaian politik, sebaliknya membawa amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesungguhan demi kemajuan negeri.

"Pilihan raya telah pun berlalu, kini tiba masanya untuk kita bersama-sama melangkah ke hadapan dan menumpukan segala usaha kepada amanah yang diberikan oleh rakyat," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kehormatan dan keharmonian agar setiap persidangan DUN dapat berlangsung secara lancar, beradab dan produktif. 

Dr Awaludin juga menyeru semua ADUN menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai pemangkin untuk terus memperkukuh perpaduan dan memelihara keharmonian masyarakat.

"Kesejahteraan rakyat perlu diterjemahkan secara nyata menerusi dasar dan tindakan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang," katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos lepas, BN dan PN masing-masing memenangi 18 dan tujuh kerusi, sekali gus membentuk majoriti dua pertiga.

-- BERNAMA