Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/08/2026 05:30 PM

DUN Negeri Sembilan Lulus RUU Perbekalan Tambahan RM40.35 Juta

DUN Negeri Sembilan Lulus RUU Perbekalan Tambahan RM40.35 Juta
Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh Datuk Ismail Lasim ketika sesi pembentangan pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan ke 16 di Dewan Undangan Negeri. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 18 Ogos (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 berjumlah RM40.35 juta bagi memenuhi komitmen kewangan dan keperluan kerajaan negeri bagi tahun semasa.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM6.5 juta diperuntukkan bagi komitmen bayaran balik hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan, manakala RM5.85 juta bagi bayaran pencen dan ganjaran susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lepas. 

"Sebanyak RM13 juta pula diperuntukkan bagi Bantuan Khas Kewangan bersamaan dua bulan gaji serta Bantuan Khas Kewangan Berasaskan Prestasi kepada penjawat awam," katanya ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata RM15 juta lagi diperuntukkan bagi meneruskan kerja menaik taraf masjid negeri serta penyelenggaraan kemudahan masjid, surau dan tanah perkuburan Islam di negeri ini.

Ismail berkata jumlah perbelanjaan mengurus negeri bagi tahun ini meningkat daripada RM640 juta kepada RM680.35 juta, manakala Negeri Sembilan mencatat lebihan sebenar RM203.2 juta pada 2025 dengan kutipan hasil RM785.2 juta atau 133.1 peratus daripada sasaran.

"Kedudukan ini memberikan asas yang baik bagi kerajaan negeri meneruskan pembangunan dan memenuhi tanggungjawab kepada rakyat.

"Hala tuju kita adalah jelas. Kita mahu Negeri Sembilan stabil dari segi pentadbiran dan tadbir urus, maju melalui pembangunan ekonomi serta peluang yang lebih luas, dan makmur apabila manfaat pembangunan dapat dirasai oleh rakyat," katanya.

Dalam pada itu, beberapa isu berkaitan pengurusan peruntukan kerajaan negeri turut dibangkitkan oleh beberapa ADUN semasa persidangan, dengan Ismail berkata perkara berkenaan akan dibincangkan dan diperhalusi dalam mesyuarat kerajaan negeri.

Beliau berkata penjelasan lanjut mengenai isu berkenaan akan diberikan selepas penelitian dan perbincangan pada peringkat kerajaan negeri.

Persidangan ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

-- BERNAMA