Berita Terkini
PRN Negeri Sembilan: Ahmad Faez Mahu Imbang Pembangunan, Keperluan Penduduk Labu
SEREMBAN, 18 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu Datuk Ahmad Faez Abdul Razak menyifatkan peluang dipilih bertanding buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebagai satu amanah besar untuk membantu PH merampas semula kerusi itu.
Ahmad Faez berkata beliau berdepan dengan pelbagai perasaan menjelang pertandingan sulungnya, namun optimis dengan sokongan rakyat selepas hampir tiga tahun mendekati penduduk di kawasan berkenaan.
“Saya rasa macam-macam, gembira dan juga gementar kerana ini kali pertama saya bertanding. Insya-Allah saya akan buat yang terbaik. Saya harap dapat merampas kembali kerusi ini. Saya sudah mula bekerja di Labu selama dua tahun lapan bulan dan saya nampak sokongan rakyat semakin baik,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di sini, hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh kerajaan Negeri Sembilan yang selari dengan dasar Kerajaan Persekutuan turut memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.
Berhubung tawaran kepada pengundi, Ahmad Faez yang juga seorang pemaju perumahan berkata beliau mahu memanfaatkan pengalaman profesionalnya bagi memastikan pembangunan di Labu dapat diseimbangkan dengan kepentingan masyarakat setempat.
Katanya, antara fokus utama manifesto beliau ialah mewujudkan sebuah pusat komuniti dan pusat riadah, khusus untuk golongan belia, yang masih belum terdapat di kawasan itu.
“Labu adalah antara DUN yang paling pesat membangun di Negeri Sembilan. Sebagai seorang pemaju perumahan, saya ada pengalaman dalam mengimbangi pembangunan dengan keperluan penduduk kampung dan masyarakat setempat,” katanya.
Mengulas potensi pembangunan kawasan itu, Ahmad Faez berkata DUN Labu berada di dalam kawasan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV), yang melibatkan kira-kira 11,000 hingga 12,000 hektar bagi pembangunan industri dan perumahan.
Beliau berkata pembangunan berkenaan dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, namun pada masa sama perlu diurus dengan teliti agar tidak menjejaskan kesejahteraan komuniti.
“Cabarannya ialah cara untuk kita mengimbangi pembangunan tersebut dan itulah yang akan saya cuba lakukan sekiranya diberi mandat oleh rakyat,” katanya.
Pada PRN kali ini, Ahmad Faez akan berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi DUN Labu Mohamad Hanifah Abu Baker daripada Bersatu serta calon Barisan Nasional (BN) Siti Nur Umaira Hasim.
Mohamad Hanifah memenangi kerusi itu pada PRN 2023 dengan majoriti 1,640 undi selepas menewaskan calon PH-PKR, Datuk Ismail Ahmad yang memperoleh 10,021 undi.
DUN Labu mempunyai 32,884 pengundi berdaftar berdasarkan daftar pemilih yang dikemas kini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hingga 31 Mei 2026, merangkumi 32,869 pengundi biasa dan 15 pengundi awal terdiri daripada anggota dan pegawai polis serta pasangan.
SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian ialah 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Anwar, Pemimpin PH Sampai Amanat Akhir Menerusi Tiktok
- Mengundi Untuk Masa Depan, Pilih Pemimpin Yang Amanah - Fahmi
- PRN NS: Anwar Gesa Jentera PH Manfaatkan Baki Tempoh Berkempen, Fokus Buat Kerja
- PRN NS: Pengundi Digalak Ikut Waktu Yang Disyorkan, Dilarang Guna Telefon Bimbit Ketika Undi
- Laporan Penuh RCI Tabung Haji Didedah Secara Telus, Tanpa Tapisan - Anwar