Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/07/2026 01:46 PM

PRN Negeri Sembilan: Arul Kumar Berdepan Saingan Lima Penjuru Di DUN Nilai

PRN Negeri Sembilan: Arul Kumar Berdepan Saingan Lima Penjuru Di DUN Nilai
Calon Pakatan Harapan (PH) J. Arul Kumar menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Nilai pada proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Forest Heights, hari ini.

SEREMBAN, 18 Julai (Bernama) -- Naib Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai J. Arul Kumar berdepan saingan sengit apabila terpaksa mengharungi cabaran lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

DUN Nilai menyaksikan pertandingan membabitkan penyandang Arul Kumar yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Zamani Ibrahim (Berjasa), Datuk Lai Chien Kong (Barisan Nasional - BN), Datuk V. Saravana Kumar (Bersatu) dan calon Bebas Omar Mohd Isa.

Senarai calon yang layak bertanding diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Masri Baharuddin di Pusat Penamaan Calon di Wisma Bandaraya Seremban selepas proses penamaan tamat pada 10 pagi.

PRN Negeri Sembilan: Arul Kumar Berdepan Saingan Lima Penjuru Di DUN Nilai
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Nilai, J. Arul Kumar (dua,kiri) bersama para pencabarnya dari Barisan Nasional Lai Chien Kong (dua,kanan), calon Bersatu Datuk V. Saravan Kumar Veerasamy (kanan), calon Berjasa Zamani Ibrahim (kiri) dan calon Bebas Omar Mohd Isa (tengah) pada penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke - 16 di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Forest Heights, hari ini.

Bagi DUN Sikamat, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Nor Azman Mohamad yang menggalas cabaran PH berdepan Datuk Razali Abu Samah (Perikatan Nasional - PN) serta Datuk Tun Faisal Ismail Aziz (Bersatu).

Kerusi berkenaan turut menarik minat seorang calon Bebas Bujang Abu yang kemudiannya memutuskan untuk menarik diri pada saat-saat akhir.

Di DUN Lenggeng, calon PH Zarinna Abu Zarin akan berdepan dengan penyandang daripada BN Datuk Mohd Asna Amin serta calon Bersatu Zool Amali Hussin, manakala di DUN Lobak menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya Chew Seh Yong daripada PH yang dicabar calon PN, Dr P. Kumar

Saingan tiga penjuru turut berlaku di DUN Temiang antara Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan Ho Weng Wah (PH), Datuk Leaw Kok Chan (BN) dan Fazly Hamid (Bersatu), manakala DUN Ampangan pula melibatkan pertandingan antara Pengarah Yayasan Negeri Sembilan Muhammad Nazri Kassim (PH), Datuk Dr Mohamad Rafie Malek (PN) dan Noor'azah Harun (Bersatu).

DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Julai ini sebagai hari pengundian awal, manakala 1 Ogos ialah hari mengundi.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA