Berita

Kemaskini: 25/11/2026 04:35 PM

Transformasi Digital Perlu Selari Dengan Agenda SMJ - Hajiji

Kredit: Jabatan Ketua Menteri, Sabah

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Transformasi digital Sabah perlu menyokong agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkukuh ekonomi, membangunkan modal insan serta meningkatkan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata kemajuan teknologi perlu diterjemahkan kepada peluang lebih luas, perkhidmatan awam lebih baik serta peningkatan taraf hidup rakyat, selain memastikan sumber asli Sabah diurus secara lebih cekap dan mampan.

“Pendigitalan tidak seharusnya dilaksanakan secara berasingan daripada pembangunan. Sebaliknya, ia perlu membantu kita melaksanakan pembangunan dengan lebih berkesan,” katanya.

Kredit: Jabatan Ketua Menteri, Sabah

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan pada perasmian Sidang Kemuncak Digital Sabah 2026 di sini hari ini yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata keutamaan transformasi digital negeri merangkumi infrastruktur dan kesalinghubungan digital, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, kerajaan digital, keselamatan siber, inovasi, pembangunan bakat, keterangkuman digital luar bandar serta perdagangan digital rentas sempadan.

Beliau berkata penggunaan AI perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah sebenar, termasuk meningkatkan produktiviti, menambah baik penyampaian perkhidmatan serta memantapkan perancangan berasaskan maklumat dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Menurutnya, keterangkuman digital turut memerlukan bekalan elektrik yang stabil, perkhidmatan mampu milik, peranti bersesuaian, kemahiran praktikal serta keyakinan menggunakan teknologi secara selamat bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada arus kemajuan digital.

Beliau berkata golongan muda perlu dilengkapi kemahiran untuk menjadi pencipta, tenaga profesional dan usahawan menerusi kerjasama lebih erat antara sekolah, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), universiti termasuk Universiti Malaysia Sabah serta pihak industri.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus memudah cara pelaburan dan menggalakkan penglibatan industri bagi menjalin kerjasama strategik yang mampu mengembangkan bakat tempatan, memperkukuh perusahaan serta membawa masuk pengetahuan dan teknologi ke Sabah.

-- BERNAMA