Berita

Kemaskini: 25/11/2026 04:14 PM

Banjir: 153 Penduduk Dipindahkan Di Sook

Kredit : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah

KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Sebanyak 153 penduduk daripada 42 keluarga di Sook dipindahkan setakat 12 tengah hari tadi, susulan banjir yang melanda daerah itu akibat hujan lebat sejak semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan kesemua penduduk terjejas dari tiga kampung di daerah itu kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna SLDB, Kampung Dalit Gana.

Menurut JPBN, daripada jumlah itu, sebanyak 44 mangsa merupakan lelaki dewasa dan warga emas lelaki, 46 wanita dewasa dan warga emas wanita, 26 kanak-kanak dan bayi lelaki serta 37 kanak-kanak dan bayi perempuan.

“Trend pemindahan mangsa pada masa ini adalah meningkat. Tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun mangsa yang dilaporkan terkepung di luar pusat pemindahan sementara setakat tengah hari ini,” menurut kenyataan itu.

Sook merupakan daerah di pedalaman Sabah yang terletak kira-kira 147 kilometer ke tenggara Kota Kinabalu, dengan perjalanan darat mengambil masa antara tiga hingga empat jam melalui laluan Keningau-Sook merentasi Banjaran Crocker.

-- BERNAMA