Berita

Kemaskini: 25/11/2026 12:52 PM

Semua Negeri Terbuka Dipertimbang Sebagai Lokasi Ekonomi Altitud Rendah - Sim

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan semua negeri, termasuk Sabah sebagai lokasi pembangunan Ekonomi Altitud Rendah menerusi  penetapan daerah sebagai living laboratory atau regulatory sandbox.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata kerajaan turut meneliti bentuk sokongan dan insentif yang bersesuaian bagi menggalakkan penglibatan syarikat tempatan dan pemain teknologi dalam pelaksanaan projek rintis. 

Beliau berkata sebarang keputusan berkaitan pemilihan lokasi, kaedah pelaksanaan dan penyediaan insentif akan berpandukan hasil kajian bagi pembangunan pelan hala tuju tersebut.

Keputusan itu juga tertakluk kepada kesesuaian kes penggunaan, aspek keselamatan operasi dan ruang udara, kesiapsiagaan infrastruktur, ketersediaan peruntukan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

Sim berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) sama ada Sabah akan dipertimbangkan sebagai lokasi ekosistem Ekonomi Altitud Rendah pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

MITI sebelum ini memaklumkan bahawa kerajaan belum menetapkan mana-mana lokasi pada masa ini kerana penilaian yang menyeluruh masih perlu dilaksanakan.

Sehubungan itu, setiap negeri boleh dipertimbangkan berdasarkan keperluan, kelebihan serta tahap kesediaan masing-masing.

Menurut Sim Sabah merupakan antara negeri yang mempunyai asas kukuh untuk dipertimbangkan, berdasarkan keluasan negeri, bentuk muka bumi, jarak antarapenempatan dengan pusat perkhidmatan, serta keperluan meningkatkan akses dan ketersambungan di kawasan pedalaman.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Riduan mengenai mekanisme MITI untuk memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberi keutamaan dalam pemindahan teknologi dalam Ekonomi Altitud Rendah itu, beliau berkata Pelan Hala Tuju Ekonomi Altitud Rendah yang sedang dirangka oleh Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO Malaysia) turut mengambil kira cadangan pembangunan bakat dalam kalangan PKS.

-- BERNAMA