Berita
Sabah Terima Pembiayaan PMKS Tertinggi, RM950 Juta Setakat 30 Sept - KUSKOP
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Sabah menerima pembiayaan tertinggi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), berjumlah RM950 juta setakat 30 Sept lepas, yang memanfaatkan lebih 44,000 usahawan tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata pembiayaan itu disalurkan menerusi tujuh agensi di bawah kementerian berkenaan.
“Sarawak pula menduduki tempat ketiga dengan jumlah pembiayaan RM877.77 juta, sekali gus memanfaatkan lebih 32,000 usahawan di negeri itu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Sim berkata KUSKOP komited memastikan inisiatif keusahawanan tidak hanya tertumpu di bandar besar, sebaliknya diperluas ke kawasan pedalaman, khususnya di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan pengagihan sumber untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem perniagaan di Sabah, beliau berkata kementerian melaksanakan 134 projek Tamu Desa bagi tempoh 2024 hingga 2026 dengan peruntukan lebih RM30 juta, termasuk pembangunan Pusat Penjaja Moden di Kundasang.
Selain itu, Karnival Hebatkan Peniaga Malaysia yang berlangsung selama tiga hari dari 23 hingga 25 Okt lepas di Sabah menarik kehadiran lebih 52,000 pengunjung.
“Peniaga PMKS yang menyertai karnival itu berjaya merekodkan hasil jualan dan potensi perniagaan melebihi RM1.5 juta,” katanya.
Dalam pada itu, Sim berkata KUSKOP sedang giat meneroka kerjasama dengan platform e-dagang antarabangsa bagi membuka lebih banyak peluang kepada produk PMKS Malaysia untuk menembusi pasaran luar negara.
Usaha itu termasuk kerjasama dengan TikTok Shop dan Lazada, selain meneroka potensi kerjasama dengan Alibaba, Taobao dan Tmall untuk mewujudkan konsep Malaysia Mall bagi mempromosi serta memasarkan produk tempatan ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata perdagangan e-dagang antarabangsa perlu bersifat dua hala dan tidak hanya menjadi saluran kemasukan barangan asing ke Malaysia, sebaliknya turut membuka ruang kepada produk tempatan untuk bersaing di peringkat global.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- MOF Tidak Pernah Arah Pembatalan Projek Jalan Luar Bandar - Tengku Zafrul
- Dua Projek Naik Taraf Jalan Luar Bandar Di Penampang Mendahului Jadual – Ewon
- Peruntukan RM18.7 Bilion Kepada Sabah Perlu Disasar Kepada Daerah Miskin, Selesai Isu Asas
- TFC Mahu Tamatkan Kemarau Kemenangan Di Sabah
- Kerajaan Persekutuan: Rayuan Geran Khas 40 Peratus Bukan Nafi Hak Sabah