Berita

Kemaskini: 30/10/2026 10:43 AM

TFC Mahu Tamatkan Kemarau Kemenangan Di Sabah

Ketua Jurulatih Terengganu FC Mohd Nafuzi Zain

KUALA NERUS, 30 Okt (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Mohd Nafuzi Zain mahu pasukan itu bangkit mengakhiri kemarau kemenangan empat perlawanan berturut-turut pada aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu petang esok.

Pengendali kelahiran Kelantan itu berkata pemain perlu berusaha membawa pulang tiga mata berharga yang mampu dicapai jika mereka beraksi mengikut perancangan dan tidak melepaskan peluang menjaringkan gol.

“Kita perlu berusaha untuk mendapatkan tiga mata. Sudah lama kita tidak menang dan sudah tentu ia satu tekanan kepada jurulatih tetapi itu sebahagian daripada cabaran kerja. Yang penting kita tidak berputus asa, menambah baik mutu permainan dan segala aspek.

“Mungkin sebelum ini usaha kita tidak mencukupi, jadi pemain kena beri lebih untuk bawa pulang kemenangan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Pada masa sama, bekas jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara itu turut mengingatkan anak buahnya supaya mengelak daripada melakukan kesilapan mudah.

Nafuzi berkata semua pemain dalam keadaan baik dan bersedia untuk diturunkan kecuali Manuel Ott dan Victor Ruiz yang mengalami kecederaan kaki.

“Sabah pada musim ini boleh dikatakan satu pasukan lengkap kerana mempunyai kekuatan seimbang di semua posisi. Beraksi di tempat sendiri, saya jangka mereka pasti akan berjuang sehabis baik untuk menang.

“Namun, saya lihat pemain TFC sudah ada peningkatan ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) tempoh hari dan berharap semangat itu diteruskan petang esok,” katanya.

TFC ketika ini berada di kedudukan kelapan liga selepas hanya mengumpul lima mata daripada lima perlawanan manakala Sabah di tempat kelima dengan tujuh mata daripada lima perlawanan.

-- BERNAMA