Berita
Dua Projek Naik Taraf Jalan Luar Bandar Di Penampang Mendahului Jadual – Ewon
PENAMPANG, 30 Okt (Bernama) -- Dua projek menaik taraf Jalan Luar Bandar (JALB) di Kampung Buayan dan Kampung Terian di sini membabitkan peruntukan keseluruhan RM173.263 juta menunjukkan kemajuan positif apabila kedua-duanya mendahului jadual pelaksanaan ditetapkan.
Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata projek JALB Kampung Buayan bernilai RM73.868 juta melibatkan kerja menaik taraf jalan sejauh 5.6 kilometer (km) dan pembinaan dua jambatan telah mencapai kemajuan fizikal 76.64 peratus iaitu 45 hari lebih awal daripada jadual dan dijangka siap pada Ogos 2027.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata projek JALB Kampung Terian dengan peruntukan RM99.395 juta melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 6.7 km pula telah mencapai kemajuan 57.83 peratus, mendahului jadual sebanyak 58 hari dan dijangka siap pada Mei 2028.
"Kedua-dua projek ini bermula pada 2024 dengan pembiayaan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
"Saya berpuas hati dengan prestasi pelaksanaan projek ini dan berharap dapat disiapkan mengikut jadual masa yang telah ditetapkan kepada syarikat kontraktor pelaksana," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke tapak projek berkenaan di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog Datuk Donald Peter Mojuntin.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata projek JALB Kampung Buayan berjalan lancar tanpa melibatkan lanjutan masa (EOT), manakala projek Kampung Terian diberikan EOT selama setahun berikutan isu pengambilan tanah dan lokasi pembinaan jambatan konkrit.
Beliau berkata prestasi pelaksanaan kedua-dua projek itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Penampang bagi memastikan kemajuan kerja terus dipantau.
Sementara itu, Ewon berkata beliau bersama Donald akan mengadakan libat urus bagi mendapatkan peruntukan untuk menyambung jajaran JALB berkenaan ke Kampung Longkogungan sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan Pelan Induk Pembangunan Penampang 2024-2035.
“Diharapkan kedua-dua projek JALB ini bersama projek pembangunan berskala kecil yang lain dapat meningkatkan kemudahan infrastruktur serta memberi manfaat kepada penduduk dan pengunjung di kampung sekitar kawasan ini apabila siap sepenuhnya nanti,” katanya.
Beliau berkata usaha untuk membantu penduduk memperoleh hak milik tanah menerusi Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) juga akan dilaksanakan.
Dalam lawatan itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan atap spandik kepada 33 rumah bagi fasa pertama bantuan menggantikan bumbung lama, selain bersetuju menyediakan peruntukan sama kepada 44 lagi keluarga yang mengemukakan permohonan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- MOF Tidak Pernah Arah Pembatalan Projek Jalan Luar Bandar - Tengku Zafrul
- Peruntukan RM18.7 Bilion Kepada Sabah Perlu Disasar Kepada Daerah Miskin, Selesai Isu Asas
- TFC Mahu Tamatkan Kemarau Kemenangan Di Sabah
- Kerajaan Persekutuan: Rayuan Geran Khas 40 Peratus Bukan Nafi Hak Sabah
- Hasil 40 Peratus Sabah: Mahkamah Rayuan Tetap 12 Nov Bagi Tentukan Tarikh Keputusan