Berita
Peruntukan RM18.7 Bilion Kepada Sabah Perlu Disasar Kepada Daerah Miskin, Selesai Isu Asas
KOTA KINABALU, 30 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan 2027 perlu diterjemahkan kepada penyelesaian masalah rakyat di daerah miskin, terutama membabitkan tiga keperluan asas iaitu bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata peningkatan RM1.1 bilion berbanding RM17.6 bilion tahun ini merupakan perkembangan positif, namun ukuran sebenar kejayaannya ialah sejauh mana peruntukan itu dapat menangani keperluan khusus setiap daerah.
Beliau berkata pendekatan bersasar penting memandangkan lapan daripada 10 daerah yang pernah dikenal pasti mempunyai kadar kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia terletak di Sabah.
"Kalau kita mahu menyelesaikan masalah kemiskinan ini, kita sayang Sabah ini dan rakyat Sabah, maka kita kena fokus penyampaiannya ke tempat yang benar-benar memerlukan.
"Kalau kita bagi saja dari peringkat atas ke bawah, tidak akan selesaikan masalah. Masalah tidak akan sama di mana-mana. Golongan yang miskin pun tidak sama," kata bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu kepada Bernama.
Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lapan daerah berkenaan ialah Tongod dengan kadar kemiskinan tegar 5.9 peratus, Beluran (5.0 peratus), Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (4.0 peratus), Tuaran (2.6 peratus) serta Ranau dan Lahad Datu masing-masing 2.4 peratus.
Azizah berkata penyelesaian isu air, elektrik dan jalan raya penting kerana ketiga-tiga kemudahan asas itu memberi kesan langsung kepada kegiatan ekonomi penduduk, termasuk keupayaan masyarakat luar bandar meningkatkan pengeluaran dan membawa hasil mereka ke pasaran.
Beliau turut mengingatkan kelewatan pelaksanaan projek akibat birokrasi yang panjang boleh menyebabkan kos pembangunan meningkat dan masalah rakyat terus berlarutan.
Bagi memastikan lebih banyak peruntukan sampai ke kawasan yang memerlukan, Azizah berkata IDS mencadangkan antara 10 hingga 15 peratus daripada Pemberian Khas interim RM1.5 bilion di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditetapkan khusus sebagai Dana Pembangunan Komuniti Khas untuk disalurkan terus kepada daerah miskin.
“Pengagihan secara bersasar perlu berasaskan data dan keadaan sebenar di lapangan kerana punca kemiskinan berbeza antara daerah, antaranya kesukaran akses pasaran, kekurangan infrastruktur serta kebergantungan nelayan dan pekebun kecil kepada orang tengah,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Azizah berkata IDS sedang melaksanakan pemetaan kemiskinan secara terperinci bermula di Pitas dan Kota Marudu bagi mengenal pasti lokasi, profil isi rumah miskin serta kekangan ekonomi yang dihadapi mereka, dengan kajian itu disasarkan siap tahun depan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Bumiputera Sabah (IKSNITA) Datuk Dayang Khatijah Bachtiyal mahu manfaat Belanjawan 2027 turut diterima usahawan wanita luar bandar yang berdepan kekangan mendapatkan latihan, bimbingan dan bantuan keusahawanan.
Beliau berkata faktor jarak dan kos perjalanan menyebabkan ramai wanita di pedalaman sukar menyertai program yang tertumpu di bandar, sekali gus mengehadkan peluang mereka meningkatkan kemahiran dan pendapatan.
Justeru, Azizah menggesa kerajaan memperbanyak program pemerkasaan usahawan wanita di daerah yang mempunyai kadar kemiskinan tinggi, selain meningkatkan sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksanakan program jelajah luar bandar.
Dayang Khatijah berkata kawasan luar bandar mempunyai pelbagai sumber tempatan yang berpotensi dikomersialkan, namun kekurangan latihan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), bimbingan keusahawanan serta masalah infrastruktur menyebabkan potensi itu belum dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau turut menggesa bantuan dan geran keusahawanan diagihkan secara adil dan bersasar supaya tidak hanya dinikmati penerima yang sama, sebaliknya diperluas kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- MOF Tidak Pernah Arah Pembatalan Projek Jalan Luar Bandar - Tengku Zafrul
- Dua Projek Naik Taraf Jalan Luar Bandar Di Penampang Mendahului Jadual – Ewon
- TFC Mahu Tamatkan Kemarau Kemenangan Di Sabah
- Kerajaan Persekutuan: Rayuan Geran Khas 40 Peratus Bukan Nafi Hak Sabah
- Hasil 40 Peratus Sabah: Mahkamah Rayuan Tetap 12 Nov Bagi Tentukan Tarikh Keputusan