Berita
Kerajaan Perkukuh Infrastruktur Bekalan Air Sabah, Sarawak Dan Labuan - Fadillah
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menyediakan geran berjumlah RM444.96 juta bagi memperkukuh infrastruktur bekalan air di Sabah, termasuk penggantian paip kritikal dan pelaksanaan langkah mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata usaha itu bertujuan meningkatkan kecekapan sistem pembekalan serta memperluas akses kepada bekalan air bersih, khususnya di kawasan yang masih berdepan kekangan infrastruktur.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sebanyak enam projek bekalan air dengan kos keseluruhan RM1.272 bilion melalui kaedah pinjaman pula akan terus dilaksanakan di Sarawak di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke-13.
“Di Labuan pula, usaha meningkatkan kebolehpercayaan sistem bekalan air diteruskan melalui penyelenggaraan, pembaikan dan penggantian komponen kritikal termasuk sistem pengepaman yang bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan risiko gangguan bekalan air kepada pengguna.
“Pelaksanaan projek berkenaan akan diselaraskan bersama kerajaan negeri dengan mengambil kira keutamaan pembangunan, keperluan penduduk dan tatacara kewangan yang berkuat kuasa,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi jangka panjang, Fadillah berkata Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) telah memulakan pemantauan air bawah tanah menggunakan teknologi pintar sejak April 2026 bagi mengenal pasti potensi sumber itu sebagai alternatif bekalan air di pulau berkenaan.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- MOF Tidak Pernah Arah Pembatalan Projek Jalan Luar Bandar - Tengku Zafrul
- Dua Projek Naik Taraf Jalan Luar Bandar Di Penampang Mendahului Jadual – Ewon
- Peruntukan RM18.7 Bilion Kepada Sabah Perlu Disasar Kepada Daerah Miskin, Selesai Isu Asas
- TFC Mahu Tamatkan Kemarau Kemenangan Di Sabah
- Kerajaan Persekutuan: Rayuan Geran Khas 40 Peratus Bukan Nafi Hak Sabah