Berita
Pulau Banggi Selamat Dan Terkawal, Penduduk Harap Peningkatan Kemudahan Asas
Oleh Arthur Edward
KUDAT, 24 Okt (Bernama) -- Kawalan keselamatan di Pulau Banggi, khususnya di Kampung Dogoton kekal terjamin dan terkawal hasil rondaan berterusan 24 jam oleh pasukan keselamatan negara di kawasan perairan serta daratan pulau berkenaan.
Ketua Kampung Dogoton Dahim Saludin berkata kehadiran anggota keselamatan yang bersiap siaga sepanjang masa memberikan keyakinan kepada penduduk untuk menjalani kehidupan harian dengan lebih tenang.
"Dari segi keselamatan, setakat ini tiada masalah. Pihak tentera juga menjalankan operasi keselamatan selama 24 jam di kawasan ini," katanya ketika ditemui Bernama bersempena dengan lawatan pelbagai agensi kerajaan ke pulau berkenaan baru-baru ini.
Selain Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), lawatan itu turut disertai antaranya Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).
Bagaimanapun, Dahim menyuarakan harapan agar jaminan keselamatan yang utuh itu dapat diimbangi dengan penaiktarafan kemudahan asas memandangkan kampung itu masih ketiadaan klinik kesihatan, selain penduduk terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sumber air telaga.
Dahim berkata bekalan elektrik juga menjadi antara keperluan penting kerana kemudahan sedia ada hanya dapat digunakan selama kira-kira enam jam sehari bermula dari 6 pagi hingga 12 tengah hari.
Turut senada, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Dogoton Asiong Asung yang menyifatkan kawasan pulau itu sentiasa tenang dengan rekod 'sifar insiden' sepanjang lapan tahun beliau menabur bakti di situ.
Mengenai aspek logistik, Asiong berkata pergerakan keluar masuk guru ke pulau terpaksa diatur secara bergilir setiap tujuh minggu berikutan keterbatasan jadual perkhidmatan feri sedia ada.
Justeru, beliau berharap permohonan pembangunan infrastruktur sekolah yang lebih kondusif dapat direalisasikan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan persekitaran pembelajaran murid luar bandar terjamin.
Katanya, pihak sekolah turut menerima sumbangan perabot dan peralatan pembelajaran termasuk kerusi, meja, papan putih serta skrin hasil keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seorang peniaga tempatan, Sedilman Amat berkata kekurangan pilihan perjalanan feri ketika ini memaksa penduduk bermalam sehingga tiga hari di tanah besar sekiranya urusan kecemasan atau rawatan perubatan tidak dapat diselesaikan mengikut jadual.
"Alhamdulillah, setakat ini keadaan keselamatan di sini baik dan tiada masalah besar, (namun) saya berharap perkhidmatan feri ke pulau ditambah baik bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan dan menguruskan urusan penting di tanah besar," katanya.
Sehubungan dengan itu, Sedilman merayu agar jadual dua trip perjalanan feri sehari bagi kedua-dua hala dikembalikan semula demi menyokong mobiliti harian masyarakat setempat.
Lawatan agensi kerajaan ke Pulau Banggi itu menjadi platform penting untuk meninjau secara terus kelompangan pembangunan setempat merangkumi aspek keselamatan, utiliti, pendidikan dan sistem pengangkutan feri.
Pulau Banggi yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari tanah besar Kudat dan berkeluasan 621 km persegi diletakkan di bawah kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone), memandangkan kedudukannya yang berhampiran laluan maritim antarabangsa serta hanya 53 km dari sempadan perairan Filipina.
Pada Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Pos Dogoton iaitu pangkalan hadapan ketenteraan di pulau berkenaan, sekali gus menzahirkan komitmen jitu kerajaan dalam memperkukuh benteng pertahanan sempadan negara.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Lebih 5,000 Usahawan Sabah Terima Manfaat Program Bantuan SME-UP - Ewon
- Sabah Laksana Lima Pendekatan Tangani Cabaran Sektor Agromakanan - Hajiji
- MPM Gesa Kerjasama Perkukuh Perkhidmatan Perkapalan Langsung Ke Labuan
- Kerajaan MADANI Selesai 12 Perkara MA63 Dalam Empat Tahun - Mustapha
- Projek Bina IPD Nabawan, Perumahan Polis Dijangka Januari Tahun Depan - Hajiji