Berita
Sabah Laksana Lima Pendekatan Tangani Cabaran Sektor Agromakanan - Hajiji
KOTA KINABALU, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah telah mengarahkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri itu melaksanakan lima pendekatan utama bagi mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi peladang, penternak dan nelayan dalam sektor agromakanan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata lima teras berkenaan merangkumi pengukuhan bantuan pengusaha, penambahbaikan infrastruktur asas, peluasan teknologi moden, pengukuhan rantaian pasaran, serta peningkatan daya tahan terhadap perubahan iklim.
"Saya mahu kementerian dan semua agensi berkaitan terus mendekati golongan peladang, penternak dan nelayan di lapangan, mendengar masalah mereka dan mencari penyelesaian yang bersesuaian mengikut keadaan setiap daerah.
"Bantuan yang berkesan ialah bantuan yang menjawab masalah sebenar, sampai kepada golongan sasaran dan menghasilkan perubahan yang boleh diukur," katanya pada perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sabah 2026 di Tenom, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.
Bagi mengukuhkan keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan import, Hajiji menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) padi dan beras daripada 22 peratus kepada 40 peratus menjelang tahun 2030.
“Selain beras, kerajaan negeri turut memberikan tumpuan kepada peningkatan pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan, daging, telur dan hasil perikanan bagi menampung permintaan tinggi serta melindungi pengguna daripada kenaikan kos sara hidup,” katanya.
Menerusi pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, sektor pertanian kekal diletakkan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri bersama sektor perindustrian dan pelancongan.
Beliau menggesa transformasi sistem pengeluaran tradisional kepada kaedah moden berorientasikan pasaran komersial agar hasil agromakanan tempatan bukan sahaja memenuhi keperluan domestik, malah berupaya menembusi pasaran antara negeri dan antarabangsa.
"Kejayaan sektor agromakanan mesti diukur bukan sahaja melalui jumlah pengeluaran, tetapi juga melalui peningkatan pendapatan pengusaha, kestabilan bekalan makanan dan kesejahteraan keluarga mereka," katanya.
Beliau turut menggariskan keperluan memperkasakan industri penternakan melalui baka pembiakan berkualiti di samping menaik taraf kemudahan pendaratan ikan serta mengembangkan industri pemprosesan dan pemasaran hasil laut.
Hajiji mengajak lebih ramai golongan belia menceburi industri agromakanan yang disifatkannya sebagai perniagaan berdaya maju bagi menjana kekayaan baharu dan membuka peluang pekerjaan yang luas di kawasan luar bandar.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Hapus Budaya Politik Lama, Kekang Sabah Bergerak Ke Hadapan - Warisan
- Lebih 5,000 Usahawan Sabah Terima Manfaat Program Bantuan SME-UP - Ewon
- Pulau Banggi Selamat Dan Terkawal, Penduduk Harap Peningkatan Kemudahan Asas
- MPM Gesa Kerjasama Perkukuh Perkhidmatan Perkapalan Langsung Ke Labuan
- Kerajaan MADANI Selesai 12 Perkara MA63 Dalam Empat Tahun - Mustapha