Berita
Projek Bina IPD Nabawan, Perumahan Polis Dijangka Januari Tahun Depan - Hajiji
KOTA KINABALU, 20 Okt (Bernama) -- Projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Perumahan Polis Nabawan, dengan siling peruntukan RM150 juta, dijangka bermula Januari 2027, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata pembinaan prasarana itu bertujuan memperkukuh keupayaan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat khususnya di Nabawan dan kawasan sekitarnya.
Hajiji berkata projek itu perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, mematuhi spesifikasi dan standard ditetapkan bagi memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kita bukan sekadar mahu melihat projek ini disiapkan, tetapi mahu memastikan hasil pembinaannya mampu memberikan manfaat untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan selepas menyempurnakan majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis dan Perumahan Polis Daerah Nabawan hari ini.
Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman dan Ketua Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.
Hajiji berkata pembinaan IPD Nabawan amat penting berikutan kedudukan strategik daerah itu yang bersempadan dengan Indonesia sekali gus menuntut keupayaan keselamatan lebih mantap bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan dan kegiatan haram.
Beliau berkata ancaman berkenaan memerlukan tindakan penguatkuasaan bersepadu, berkesan dan berterusan termasuk memperkukuh keupayaan pasukan PDRM dari segi anggota, infrastruktur, kemudahan operasi serta sistem pentadbiran.
Menurut Hajiji, Balai Polis Nabawan ditubuhkan sejak 1976 kini berada di bawah pentadbiran IPD Keningau, sedangkan Nabawan mempunyai kawasan pentadbiran seluas kira-kira 6,089 kilometer persegi.
“Dengan keluasan kawasan pentadbiran ini, keperluan terhadap struktur kepolisan yang lebih tersusun dan bersesuaian dengan tuntutan keselamatan semasa amat wajar diberikan perhatian.
“Pembangunan IPD Nabawan merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh kehadiran dan keupayaan perkhidmatan kepolisan di kawasan ini,” katanya.
Ketua Menteri turut menjelaskan projek tersebut sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan yang tidak berbelah bahagi terhadap aspek kebajikan, keselesaan dan keselamatan anggota pasukan barisan hadapan.
“Penyediaan infrastruktur yang kondusif dan dilengkapi kemudahan teknologi terkini bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan kritikal, khususnya di kawasan sempadan,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Kerajaan MADANI Selesai 12 Perkara MA63 Dalam Empat Tahun - Mustapha
- Isu Warga Asing Terlibat Ekonomi Haram Di Semporna Dibawa Ke Kabinet Persekutuan
- 169 Pendatang Ditahan Dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen Sabah
- Dua Beranak Maut Kereta Dihempap Kontena Terbalik Di Sepanggar
- Peruntukan RM18.7 Bilion Dalam Belanjawan 2027 Bukan Untuk Pembangunan Semata-mata - Masidi