Berita

Kemaskini: 23/10/2026 01:54 PM

MPM Gesa Kerjasama Perkukuh Perkhidmatan Perkapalan Langsung Ke Labuan

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 23 Okt (Bernama) -- Megah Port Management Sdn Bhd (MPM) menggesa kerjasama lebih erat antara Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA), Perbadanan Labuan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pemain industri bagi memperkukuh perkhidmatan perkapalan langsung serta meningkatkan keterhubungan maritim Labuan.

Pengendali Pelabuhan Labuan itu menyifatkan keputusan pihak kastam Sabah menghentikan aturan transit kargo ke Labuan melalui Pelabuhan Kota Kinabalu, seperti yang dibangkitkan Dewan Perniagaan Labuan baru-baru ini, sebagai peluang untuk membangunkan perkhidmatan perkapalan langsung yang lebih cekap dan berdaya maju dari segi komersial.

Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, MPM memaklumkan kejayaan usaha itu memerlukan penyelarasan antara agensi, panduan pelaksanaan yang jelas dan komitmen komersial sepanjang rantaian logistik.

“Perkhidmatan perkapalan langsung yang mampan memerlukan lebih daripada perubahan peraturan. Ia menuntut usaha bersepadu, garis panduan pelaksanaan yang jelas dan penyertaan komersial yang kukuh sepanjang rantaian logistik,” menurut syarikat itu.

Sehubungan itu, MPM mencadangkan LPA mempengerusikan mesyuarat penyelarasan segera bersama Perbadanan Labuan, JKDM dan wakil industri bagi merangka pelan tindakan bersama, menetapkan tanggungjawab serta mengenal pasti keutamaan pelaksanaan.

MPM turut menggesa pihak berkuasa kastam mengeluarkan panduan bertulis mengenai skop aturan baharu, keperluan dokumentasi, prosedur pelaksanaan serta pengendalian kargo yang telah ditempah atau sedang dalam transit bagi mengelakkan ketidakpastian dan gangguan operasi.

Menurutnya, komunikasi yang jelas dan konsisten penting bagi membolehkan pengendali perkapalan, penghantar barang serta komuniti perniagaan membuat persediaan logistik sewajarnya. Taklimat bersama pihak berkuasa berkaitan, termasuk JKDM jika bersesuaian, juga dicadangkan bagi memastikan maklumat mengenai aturan pelaksanaan dan perkhidmatan yang tersedia disampaikan dengan tepat.

Bagi memastikan perkhidmatan itu berdaya maju, MPM mencadangkan sesi libat urus dengan syarikat dan ejen perkapalan, penghantar barang, pengimport serta pengeksport untuk menilai permintaan kargo, mendapatkan komitmen komersial dan menentukan jadual kapal yang sesuai.

“Jumlah kargo yang mencukupi dan aturan perkapalan yang berdaya maju penting untuk memastikan persinggahan kapal secara berkala serta kelangsungan operasi perkapalan langsung dalam jangka panjang,” menurut kenyataan itu.

MPM turut menyatakan kesediaan menilai kapasiti, peralatan dan keperluan tenaga kerjanya bagi menampung pertambahan kargo tanpa menjejaskan kecekapan serta keselamatan operasi terminal.

Pada masa sama, syarikat itu menekankan kepentingan ketelusan dan daya saing caj logistik. Penyelarasan lebih baik antara penyedia perkhidmatan, katanya, dapat membantu mengurangkan kos yang boleh dielakkan, meminimumkan kelewatan dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.

MPM juga mencadangkan semakan bersama secara berkala terhadap jumlah kargo, kekerapan persinggahan kapal, prestasi pengendalian terminal dan maklum balas pemain industri bagi menilai kemajuan serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.

“Kami yakin kerjasama lebih erat, komunikasi telus dan komitmen bersama dapat membangunkan rangkaian logistik maritim Labuan yang lebih berdaya tahan, sekali gus memberi manfaat kepada perniagaan, pengguna dan ekonomi keseluruhannya,” menurut syarikat itu.

-- BERNAMA