Berita
Kepelbagaian Etnik Cermin Kekuatan Sabah, Malaysia - Aaron Ago
KOTA KINABALU, 31 Ogos (Bernama) -- Kepelbagaian etnik, bahasa, adat dan budaya di Sabah adalah antara kekuatan utama negeri serta mencerminkan kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata Sabah mempunyai 35 kumpulan etnik dan 217 subetnik dengan kekayaan bahasa, adat, pakaian, muzik, tarian serta warisan unik, yang bersama-sama membentuk identiti negeri berkenaan.
“Kadazan, Dusun, Bajau, Murut, Rungus, Bisaya, Lotud, Lundayeh dan pelbagai lagi komuniti telah bersama-sama mencorakkan identiti Sabah yang kita kenali hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya bersempena dengan Hari Sabah hari ini.
Beliau berkata kepelbagaian itu bukan penghalang kepada keharmonian, sebaliknya menjadi kekuatan apabila masyarakat saling memahami, menghormati dan menerima antara satu sama lain.
“Kepelbagaian ini merupakan kekuatan Sabah dan kekuatan Malaysia. Dalam perbezaan bahasa, kepercayaan, adat dan cara hidup, rakyat Sabah telah menunjukkan bahawa keharmonian dapat dibina apabila kita saling memahami, menghormati dan menerima antara satu sama lain,” katanya.
Aaron berkata tanggal 31 Ogos mempunyai makna tersendiri dalam perjalanan sejarah Sabah yang melalui era Borneo Utara, pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara, pendudukan Jepun dan pemerintahan British sebelum mencapai pemerintahan sendiri pada 1963.
Sabah kemudiannya bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963.
Aaron turut mengingatkan masyarakat supaya tidak melupakan jasa tokoh serta generasi terdahulu yang mencurahkan tenaga, pemikiran dan pengorbanan dalam membangunkan Sabah.
Menurutnya, tanggungjawab untuk membawa negeri itu lebih jauh ke hadapan kini terletak di bahu generasi masa kini, khususnya anak-anak Sabah.
“Kini, tanggungjawab itu berada di bahu anak-anak Sabah. Generasi hari ini perlu berani membawa Sabah lebih jauh ke hadapan dalam pendidikan, ekonomi, teknologi dan pembangunan, sambil terus mempertahankan sejarah, budaya serta identiti negeri ini,” katanya.
Pada 2024, kerajaan negeri mewartakan tarikh 31 Ogos sebagai Hari Sabah.
-- BERNAMA