Berita
Tinggalkan Politik Perkauman, Agama, Bersaing Dengan Dasar Dan Prestasi - Mustapha
KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Parti politik di negara ini perlu meninggalkan naratif politik yang berlumba-lumba memainkan sentimen kaum dan agama, sebaliknya bersaing melalui dasar prestasi serta kemampuan memberikan kehidupan lebih baik kepada rakyat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata politik yang menakutkan satu kaum terhadap kaum lain atau menjadikan agama sebagai garis pemisah hanya memecah-belahkan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu berkata keperluan untuk beralih daripada politik identiti kepada politik prestasi yang dinilai melalui ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat juga merupakan antara perkara ditegaskan dalam Kongres Nasional PKR 2026.
“Di Sabah, kepelbagaian kaum, agama dan budaya adalah kekuatan. Persoalan rakyat hari ini bukan siapa datang daripada kaum atau agama mana, tetapi siapa mampu menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan mereka.
“Rakyat Sabah semakin matang dan tidak harus diheret ke dalam kancah politik perkauman serta politik identiti sempit yang masih dimainkan oleh pihak tertentu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mustapha berkata atas dasar itu, PKR Sabah mahu pendekatan “needs-based economy” atau ekonomi berasaskan keperluan diperkukuhkan.
Beliau berkata dasar dan bantuan kerajaan perlu ditentukan mengikut keperluan sebenar rakyat, jurang pembangunan, tahap pendapatan dan realiti geografi sesuatu wilayah, bukan semata-mata berdasarkan kaum atau pendekatan “one-size-fits-all”.
“Bagi Sabah, prinsip ini penting dalam isu subsidi bahan api, pendidikan, kesihatan, air, elektrik, jalan raya, Internet dan pembangunan luar bandar. Rakyat yang paling memerlukan mesti menerima perhatian dan bantuan yang sewajarnya, tanpa mengira kaum dan agama.
“Itulah asas bagi Keadilan Sabah untuk memohon pertimbangan kerajaan Persekutuan menilai semula kuota diesel dan petrol agar dapat menampung keperluan rakyat Borneo,” katanya.
Selain itu, Mustapha berkata peningkatan Pemberian Khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI adalah contoh bagaimana keperluan dan ketidakseimbangan pembangunan boleh ditangani melalui dasar.
“Pada masa sama, penyelesaian hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah mesti terus menjadi keutamaan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan semangat MA63 (Perjanjian Malaysia 1963),” katanya.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Sembilan Tahun Terbengkalai, Projek Bangunan Baharu JPL Hospital Tambunan Bakal Diteruskan
- Ekonomi Biru Diberi Tumpuan Khusus Dalam Belanjawan 2027 - Amir Hamzah
- Penambahbaikan Subsidi Diesel Bersasar Diumum Dalam Dua Bulan - Amir Hamzah
- KasihnITA Inisiatif Holistik Perkasa Keupayaan, Kesejahteraan Ibu Tunggal - Nancy
- Gempa Sulawesi: Penduduk Pantai Timur Sabah Rasa Gegaran, Tiada Laporan Kerosakan