Berita

Kemaskini: 16/08/2026 05:33 PM

KasihnITA Inisiatif Holistik Perkasa Keupayaan, Kesejahteraan Ibu Tunggal - Nancy

Kredit: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)

KOTA KINABALU, 16 Ogos (Bernama) -- Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITA) menjadi inisiatif holistik dalam usaha memperkasakan golongan ibu tunggal menerusi bimbingan dalam tiga aspek utama, iaitu literasi perundangan, pengurusan kewangan dan pembangunan psikososial.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata penguasaan tiga aspek itu penting bagi membantu ibu tunggal memahami hak, mengurus kewangan dengan lebih terancang serta membina kekuatan diri untuk meneruskan kehidupan.

“Program ini dibangunkan bagi mendayaupayakan ibu tunggal yang memerlukan bimbingan dan sokongan agar mereka lebih berpengetahuan, yakin serta mampu mengurus kehidupan dengan lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan KasihnITA 2026 peringkat Sabah di sini hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Rina Jainal dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Hanani Sapit.

Nancy berkata pelaksanaan Fasa 2 KasihnITA 2026 di Sabah menjadi kemuncak program dengan sambutan menggalakkan melibatkan sebanyak 150 peserta disenarai pendek daripada 684 permohonan diterima.

Beliau menggesa peserta supaya memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan daripada tiga modul yang disampaikan dengan menterjemah ilmu serta pengalaman itu kepada amalan dan tindakan.

“Kejayaan sebenar dapat dilihat apabila seorang ibu tunggal lebih yakin untuk mempertahan haknya, mampu membuat keputusan kewangan lebih baik, memperoleh akses kepada peluang serta membina kehidupan yang lebih sejahtera untuk diri, anak dan keluarga,” katanya.

Pada sidang media, Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneruskan bantuan guaman kepada wanita kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal dan tiada pekerjaan menerusi peruntukan belanjawan akan datang.

Nancy berkata bantuan itu merangkumi khidmat guaman bagi kes perkahwinan dan perceraian secara sivil mahupun Syariah.

Selain itu, KPWKM akan terus mempergiat program advokasi bagi memberi penerangan dan panduan kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga supaya tidak terus berada dalam situasi tersebut.

“Kita tidak mahu mereka terus membiarkan diri menjadi mangsa. Kita mahu mereka menjadi survivor supaya mempunyai semangat untuk meneruskan kehidupan dan tidak membiarkan diri terus dijadikan mangsa (keganasan rumah tangga),” katanya.

Nancy menggesa mangsa keganasan rumah tangga supaya mengetahui prosedur operasi standard antara lain melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa selain disaran ke hospital kerana terdapat One Stop Crisis Centre untuk mendapatkan bantuan.

Selain itu, beliau berkata mangsa juga boleh menghubungi Talian Kasih 15999 untuk mendapatkan bantuan sokongan psikososial daripada kaunselor.

-- BERNAMA