Berita

Kemaskini: 16/08/2026 06:03 PM

Ekonomi Biru Diberi Tumpuan Khusus Dalam Belanjawan 2027 - Amir Hamzah

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

TAWAU, 16 Ogos (Bernama) -- Sektor Ekonomi Biru terutamanya di Sabah diberi tumpuan khusus dalam penyediaan Belanjawan 2027 sebagai bidang strategik baharu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan sektor itu dapat diteroka sebaiknya dalam Belanjawan 2027 demi manfaat rakyat.

Beliau berkata Sabah mempunyai potensi besar untuk menerajui sektor marin dan akuakultur dalam Ekonomi Biru, justeru pihaknya hari ini duduk semeja dalam Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 dengan pemain industri negeri ini bagi merealisasikan hasrat itu.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan hadir Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama pemain industri di Tawau, Sabah.

"Penyelarasan berasaskan pendekatan keberhasilan peruntukan itu bertujuan memastikan setiap pelaburan infrastruktur dan pembiayaan berupaya memangkin perkembangan industri marin secara lebih pesat.

"Sabah mempunyai kelebihan semula jadi yang besar dalam sektor marin dan akuakultur yang berpotensi untuk diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi melalui peningkatan produktiviti, pemprosesan hiliran, pengukuhan rantaian bekalan serta akses pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 dengan pemain industri di sini.

Amir Hamzah berkata pembangunan ekonomi berkenaan turut merangkumi pemprosesan aktiviti hiliran yang berupaya memberi nilai tambah tinggi kepada sumber marin tempatan.

Beliau memberi contoh industri pemprosesan rumpai laut di Sabah yang kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa utama seperti China dan United Kingdom.

"Langkah memperkasakan rantaian bekalan dan pemprosesan hiliran itu dijangka mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan pendapatan komuniti setempat," katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi menyelaraskan cadangan di bawah pelan Sabah Maju Jaya untuk diserapkan ke dalam perancangan Belanjawan 2027 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

-- BERNAMA