Berita
Sembilan Tahun Terbengkalai, Projek Bangunan Baharu JPL Hospital Tambunan Bakal Diteruskan
KOTA KINABALU, 16 Ogos (Bernama) -- Projek bangunan baharu Jabatan Pesakit Luar (JPL) Hospital Tambunan yang terbengkalai sejak sembilan tahun lepas bakal dihidupkan semula bagi meningkatkan keselesaan pesakit dan warga kerja hospital berkenaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata usaha ini penting memandangkan pesakit serta warga kerja hospital itu terpaksa berhimpit dan bersesak setiap hari akibat masalah berkenaan.
Beliau berkata keadaan itu antara perkara paling meruntun hatinya ketika mengadakan lawatan kerja ke hospital tersebut, hari ini.
“Insya-Allah, projek yang 'sakit' ini akan kita hidupkan semula dan pastikan ia disiapkan demi keselesaan dan hak warga Tambunan,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Beroperasi sejak 16 Sept 1977, Hospital Tambunan merupakan hospital tanpa pakar di bawah Kluster Keningau dengan kapasiti 49 katil.
Hospital itu menjadi nadi penjagaan kesihatan utama bagi kira-kira 43,400 penduduk di kawasan berkenaan, dengan menyediakan perkhidmatan komprehensif termasuk rawatan kecemasan dan trauma 24 jam serta perkhidmatan pesakit luar dan dalam.
Sementara itu, Dzulkefly turut mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM988,000 bagi menangani keperluan mendesak di hospital berkenaan, dengan sebahagian besar dana itu disalurkan untuk menaik taraf Jabatan Kecemasan.
Katanya, RM185,000 daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki bangunan kantin yang rosak teruk bagi menyediakan kemudahan tempat makan sesuai, manakala baki dana selebihnya disalurkan bagi pembelian peralatan perubatan serta kemudahan lain yang diperlukan.
Dzulkefly turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Keningau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan atas sumbangan sebuah katil hidraulik dan sebuah mesin ultrasound untuk kegunaan hospital.
“Ini adalah tambahan kepada enam katil hidraulik dan sebuah unit mesin ultrasound yang telah diluluskan, juga untuk Hospital Tambunan hari ini. Tanggungjawab menjaga kesihatan rakyat ini lebih mudah jika semua pihak bekerjasama,” katanya.
Berhubung keluhan mengenai ruang Klinik Pergigian Tambunan, Dzulkefly berkata beliau telah mengarahkan supaya permohonan dana bagi mengatasi isu itu diangkat segera dalam perancangan bajet pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13.
Dalam lawatan itu, Dzulkefly turut diberikan taklimat terperinci berkaitan status perjawatan, cabaran operasi serta taburan fasiliti kesihatan sokongan di Tambunan yang merangkumi tujuh mukim dan 88 kampung.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ekonomi Biru Diberi Tumpuan Khusus Dalam Belanjawan 2027 - Amir Hamzah
- Penambahbaikan Subsidi Diesel Bersasar Diumum Dalam Dua Bulan - Amir Hamzah
- KasihnITA Inisiatif Holistik Perkasa Keupayaan, Kesejahteraan Ibu Tunggal - Nancy
- Gempa Sulawesi: Penduduk Pantai Timur Sabah Rasa Gegaran, Tiada Laporan Kerosakan
- Tiada Kejadian Lelaki Bersenjata Masuk Semporna, Lahad Datu - Polis