Berita
Sabah Aset Strategik Pacu Malaysia Sebagai Hab Halal Global - HDC
KOTA KINABALU, 2 Ogos (Bernama) -- Kekayaan sumber semula jadi dan bakat tempatan menjadikan Sabah aset strategik penting dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab halal global, kata Pengerusi Halal Development Corporation Berhad (HDC) Prof Dr Mohd Afandi Salleh.
Beliau berkata sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini turut memiliki keunikan tersendiri serta berpotensi besar untuk diketengahkan ke pasaran antarabangsa.
Mohd Afandi berkata potensi berkenaan menjadi rasional utama agensi itu memilih Sabah sebagai lokasi penganjuran Program Jelajah Halal Malaysia 2026 dan membantu mengetengahkan PMKS tempatan ke pasaran lebih luas antaranya melalui pensijilan halal.
“Pensijilan halal merupakan satu ‘tiket’ penting untuk menawarkan pasaran yang lebih luas kepada usahawan tempatan walaupun ia bukan satu-satunya faktor penentu kejayaan,” katanya kepada Bernama pada program jelajah itu yang berlangsung selama dua hari dan berakhir semalam.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata HDC komited memudah cara permohonan usahawan tempatan menerusi bantuan dari sudut pematuhan proses, sokongan teknikal serta pendedahan kepada peluang bantuan kewangan.
Mengenai keperluan khusus usahawan di negeri ini, Mohd Afandi mengakui cabaran utama dihadapi oleh komuniti perniagaan tempatan adalah berpunca daripada faktor geografi.
Beliau berkata keluasan Sabah menyebabkan penyebaran maklumat mengenai kepentingan, objektif dan peluang dalam industri halal tidak sampai sepantas negeri-negeri lain.
Bagi menanganinya, HDC mengambil pendekatan menghimpunkan usahawan di lokasi tumpuan dan merancang siri jelajah susulan ke kawasan setempat mereka di seluruh negeri.
“Langkah turun padang itu penting bagi membina kefahaman usahawan bahawa pensijilan halal adalah sebahagian daripada strategi asas untuk membesarkan skala perniagaan.
Mohd Afandi berkata walaupun HDC berpusat di Kuala Lumpur, agensi berkenaan mahu menjalin kerjasama secara mendalam dengan menggabungkan kepakaran serta sumber tempatan yang ada di Sabah.
Beliau berkata usaha memperkasakan industri halal di negeri ini adalah selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk meletakkan ekosistem halal sebagai pemacu pemakmuran ekonomi negara.
Mengenai sasaran impak program, beliau mendedahkan HDC menetapkan penanda aras sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah peserta siri jelajah di Sabah akan dibantu secara terus sehingga mendapat sijil halal.
Pihaknya berharap penyertaan usahawan tempatan akan terus meningkat melampaui sasaran minimum berkenaan demi memastikan ekosistem halal Sabah berkembang lebih pesat dan mampan.
Program Jelajah Halal Malaysia Sabah 2026 dianjurkan HDC dihadiri lebih 500 peserta terdiri daripada usahawan PMKS, pemain industri, agensi kerajaan, institusi kewangan, sektor pendidikan serta orang awam.
Penutup program itu semalam disempurnakan Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri.
Turut hadir Penolong Pengurus Besar HDC Mohammad Romzi Sulaiman.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- SUKMA 2026: Earl Isaac Sasar Emas, Rekod Peribadi Lontar Peluru
- Pensijilan Halal Peluang Perluas Pasaran, Beri Nilai Tambah Komersial - Ewon
- Kertas Kabinet Dibentang Bantu PMKS Kembang Operasi Di Taman Perindustrian - Ewon
- Baki Bayaran Interim Pemberian Khas Sabah Dibincang Dalam Mesyuarat MA63 Isnin Ini
- Pameran Malaysia Fair In Seoul Buka Peluang Usahawan Tempatan Tembusi Pasaran Korea