Berita
Pensijilan Halal Peluang Perluas Pasaran, Beri Nilai Tambah Komersial - Ewon
KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Pensijilan halal tidak harus hanya dilihat daripada sudut tuntutan agama, sebaliknya menjadi tanda aras kualiti, kebersihan dan gaya hidup yang mampu meluaskan pasaran produk, kata Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri berkata pemahaman menyeluruh tentang konsep halal akan memberikan nilai tambah komersial tinggi kepada barangan dan perkhidmatan tempatan, terutamanya untuk pasaran luar negara.
Malah, beliau berkata pasaran pengguna di negara bukan Islam seperti Korea, Jepun dan China juga kini menunjukkan keyakinan tinggi terhadap produk bersijil halal Malaysia berikutan standard pemprosesan dan kawalan kebersihan yang ketat.
“Berdasarkan data Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kira-kira 9,000 syarikat di seluruh negara memiliki sijil halal dengan kira-kira 420 daripadanya di Sabah.
“Justeru saya menyeru kepada syarikat terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan Sabah untuk mengambil peluang dalam industri halal,” katanya kepada pemberita selepas Penutupan Program Jelajah Halal Malaysia Sabah 2026 di sini hari ini.
Program itu dianjurkan oleh Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan turut dihadiri Pengerusi HDC Profesor Dr Mohd Afandi Salleh serta Penolong Pengurus Besar HDC Mohammad Romzi Sulaiman.
Program dua hari bermula semalam dihadiri lebih 500 peserta terdiri daripada usahawan PMKS, pemain industri, agensi kerajaan, institusi kewangan, sektor pendidikan serta orang awam.
Selain itu, Ewon berkata pensijilan halal juga membolehkan Sabah mempunyai kelebihan untuk menguasai pasaran pelancongan mesra Muslim berikutan daya tarikan pulau utama seperti Semporna, Mabul dan Sipadan dalam koridor Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA).
“Halal kini melangkaui hanya aspek makanan kerana ia merangkumi gaya hidup, kualiti dan jaminan kebersihan yang meyakinkan pengguna tempatan mahupun antarabangsa.
“Penyediaan ekosistem mesra Muslim yang lengkap di premis perhotelan dan pusat percutian mampu menarik lebih ramai pelancong serta meningkatkan daya saing industri pelancongan tempatan,” katanya.
Berhubung program itu, Ewon berkata kerajaan negeri menghargai kerjasama HDC bersama-sama kerajaan negeri serta pelbagai agensi dan rakan strategik dalam menjayakan program yang mampu memperkasakan usahawan tempatan dalam industri halal.
Beliau berkata inisiatif berterusan seperti jelajah itu akan membantu lebih ramai usahawan Sabah menghasilkan produk dan perkhidmatan yang memenuhi piawaian halal domestik serta antarabangsa.
“Saya juga berharap usahawan industri halal di Sabah dapat mengambil bahagian dalam ekspo antarabangsa melalui bimbingan disediakan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR),” katanya.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- SUKMA 2026: Earl Isaac Sasar Emas, Rekod Peribadi Lontar Peluru
- Sabah Aset Strategik Pacu Malaysia Sebagai Hab Halal Global - HDC
- Kertas Kabinet Dibentang Bantu PMKS Kembang Operasi Di Taman Perindustrian - Ewon
- Baki Bayaran Interim Pemberian Khas Sabah Dibincang Dalam Mesyuarat MA63 Isnin Ini
- Pameran Malaysia Fair In Seoul Buka Peluang Usahawan Tempatan Tembusi Pasaran Korea