Berita
Pameran Malaysia Fair In Seoul Buka Peluang Usahawan Tempatan Tembusi Pasaran Korea
KOTA KINABALU, 31 Julai (Bernama) -- Usahawan dan pemain industri tempatan berpeluang untuk memperluas pasaran produk serta perkhidmatan mereka ke Korea Selatan menerusi penganjuran julung kalinya pameran Malaysia Fair in Seoul pada November ini.
Pengarah Urusan Fazbuzz Events dan Media Sdn Bhd Fazura Azima Ag Sha berkata acara pelbagai sektor itu akan menjadi platform strategik bagi memperkukuh hubungan perdagangan, pelancongan, kebudayaan, inovasi dan pendidikan tinggi antara Malaysia dengan Korea Selatan.
Beliau berkata pameran yang dijadual berlangsung pada 7 dan 8 Nov di Dongdaemun Design Plaza, Seoul itu menawarkan penyertaan terhad kepada antara 46 hingga 50 pempamer dari seluruh Malaysia.
“Seiring dengan perkembangan ekonomi kedua-dua negara, Malaysia Fair in Seoul bakal membuka lembaran baharu dengan membawa keunikan dan keunggulan Malaysia terus ke tengah-tengah kota Seoul.
“Ia bukan sekadar pameran barangan pengguna, sebaliknya platform strategik untuk merapatkan hubungan perniagaan dan kebudayaan antara Malaysia dengan Korea Selatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai penganjuran acara itu, di sini, hari ini.
Fazura Azima berkata pameran itu juga membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk mengetengahkan makanan dan produk halal Malaysia, yang kini semakin mendapat perhatian serta permintaan tinggi di pasaran Korea Selatan.
Katanya, pameran berkenaan merangkumi sektor pelancongan, pendidikan, teknologi, pertanian, makanan dan minuman, kesihatan, peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana, perhotelan, penerbangan serta industri kreatif.
Beliau berkata acara itu turut mengetengahkan persembahan kebudayaan, kraftangan, makanan tradisional dan produk tempatan, selain mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang menawarkan pendidikan berkualiti pada kos kompetitif.
“Malaysia kini semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pendidikan dalam kalangan rakyat Korea Selatan kerana menawarkan persekitaran yang selamat, kos yang berpatutan serta ekonomi yang kukuh. Antara trend ketika ini ialah pelancongan pendidikan,” katanya.
Fazura Azima berkata program itu akan memberi tumpuan kepada sesi perniagaan dengan pengguna, manakala sesi padanan perniagaan pada 9 Nov akan membantu produk Malaysia menembusi rangkaian pasar raya, pasar raya besar dan syarikat berkaitan di Korea Selatan.
“Seoul dipilih kerana bandar raya metropolitan itu merupakan antara pusat ekonomi utama Korea Selatan serta menempatkan ibu pejabat beberapa konglomerat global, sekali gus menjadikannya lokasi strategik untuk menjalinkan kerjasama perniagaan pelbagai sektor.
“Kemudahan penerbangan terus dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Incheon turut memudahkan hubungan perdagangan, pelancongan serta pergerakan peserta antara kedua-dua negara,” katanya.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Kerosakan Lantai Konkrit, Jambatan Jalan Tun Fuad Stephen Ditutup Serta-merta
- Sabah-melaka Perkukuh Hubungan Strategik Perkasa Sektor Pelancongan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Lima Negeri dan Labuan Hingga 11 Malam Ini
- Lebih RM100 Juta Diperuntuk Untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah - Hajiji
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini