Berita

Kemaskini: 01/08/2026 02:00 PM

Baki Bayaran Interim Pemberian Khas Sabah Dibincang Dalam Mesyuarat MA63 Isnin Ini

KOTA KINABALU, 1 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Isnin ini dijangka membincangkan penyaluran baki bayaran interim Pemberian Khas berjumlah RM900 juta kepada kepada Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata kerajaan negeri dan Persekutuan kini giat berunding bagi memastikan keseluruhan bayaran interim Pemberian Khas berjumlah RM1.5 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, dapat disalurkan pada tahun ini.

“Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sedang giat berunding untuk memastikan peruntukan yang diumumkan dapat dibayar pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2026 di sini, hari ini.

Masidi berkata mesyuarat turut dijangka membincangkan isu berkaitan hak Sabah terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.

Pada Mei lepas, Perdana Menteri mengumumkan peningkatan geran khas interim kepada Sabah yang melonjak kepada RM1.5 bilion tahun ini berbanding RM600 juta sebelum ini.

Anwar berkata langkah itu dilaksanakan sebagai penyelesaian sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri itu dimuktamadkan menerusi perundingan rasmi antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini dilaporkan telah menerima RM600 juta daripada bayaran geran khas interim berjumlah RM1.5 bilion yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan pada 12 Jun lepas.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 20 Julai dimaklumkan bahawa kerajaan negeri telah memohon supaya baki RM900 juta disalurkan sepenuhnya pada tahun ini.

Mengulas sentimen kononnya Sabah dipinggirkan dalam aspek pembangunan, Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah mengajak rakyat negeri itu untuk menilai sumbangan masing-masing dalam memastikan Sabah terus berada dalam arus perdana pembangunan negara.

"Kita jangan sekadar merungut, tetapi pastikan sumbangan kita supaya dapat bersama-sama dalam arus pembangunan seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat Sabah mempamerkan semangat patriotisme dengan mengibarkan bendera bersempena dengan sambutan Hari Sabah dan Bulan Kebangsaan.

-- BERNAMA