Berita
Infrastruktur Baharu Air Di Papar Selesaikan Masalah Bekalan Menjelang Akhir Tahun - Hajiji
PAPAR, 28 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah menjangkakan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon dan loji air mentah Kabang dapat menyelesaikan masalah bekalan di Papar, Putatan dan Kimanis menjelang akhir tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata LRA Kogopon yang berkapasiti 80 juta liter sehari (JLH), serta loji baharu Kabang masing-masing dijangka mula beroperasi pada November dan Ogos.
Beliau telah mengarahkan Jabatan Air Negeri supaya memantau kedua-dua projek infrastruktur itu bagi memastikan ia siap sepenuhnya tanpa mengalami sebarang kelewatan lagi.
"Perlu lebih proaktif dalam menangani isu kekurangan air dengan menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas bukan sahaja di sini tetapi di semua kawasan di negeri ini," katanya dalam kenyataan selepas menghadiri taklimat mengenai kedua-dua projek berkenaan di Papar, hari ini.
Terdahulu, dalam satu taklimat Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Chee Chun Chieh memaklumkan bahawa LRA Kogopon yang bernilai RM365.9 juta itu akan mula menyalurkan bekalan air menjelang akhir November, dan dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
Hajiji berkata walaupun masalah bekalan air negeri itu dianggap sebagai isu lama, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, pentadbiran semasa komited sepenuhnya untuk menanganinya.
Sementara itu, beliau berkata loji pengambilan air Kabang bernilai RM39.73 juta kini telah mencapai 90 peratus siap dan dijadualkan mula beroperasi secara rasmi pada September tahun ini.
Dibina lebih jauh ke hulu Sungai Papar, loji pengambilan air baharu itu akan meningkatkan kapasiti daripada sembilan JLH kepada 30 JLH, serta mengelakkan masalah kemasinan yang sering menjejaskan loji sedia ada di Limbahau.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong