Berita
Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
KOTA KINABALU, 29 Julai (Bernama) -- Sabah FC menerima penajaan bernilai RM4 juta daripada sebuah syarikat barang kemas bagi menghadapi saingan musim 2026/2027 yang dijadual bermula bulan depan.
Pengerusi Sabah FC Datuk Alijus Sipil berkata penajaan itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperkukuh pasukan dalam usaha memperbaiki pencapaian musim lepas.
“Kita akan gunakan sebaik mungkin penajaan tersebut untuk program latihan pemain dan untuk menghadapi musim 2026/2027,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sabah FC bersama Emas Sri Semantan Sdn Bhd di sini hari ini.
Alijus berkata Sabah FC kini berada dalam fasa akhir persiapan dan perkembangan lanjut termasuk barisan pemain akan diumumkan menerusi media sosial rasmi kelab dari semasa ke semasa.
Walaupun menamatkan saingan Liga Malaysia musim lepas di tangga kesembilan, namun Sabah FC berjaya mara ke final Piala FA sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), selain muncul juara Piala Cabaran.
Sementara itu, Pengerusi Emas Sri Semantan Hafizal Mahmood berkata pemilihan Sabah FC didorong sokongan luar biasa masyarakat negeri itu terhadap sukan bola sepak.
“Memandangkan kami sudah mempunyai tiga buah kedai di Sabah, iaitu di Kota Kinabalu, Sandakan dan juga di Tawau, jadi ia menjadi tanggungjawab buat kami untuk bersama-sama komuniti di sini.
“Apa yang kami lakukan ini adalah atas dasar mengutamakan komuniti. Oleh itu, sukan bola sepak telah dipilih dan kami memberikan tajaan sebanyak RM4 juta untuk Sabah FC bagi musim ini,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong
- Sabah Sedia Insentif RM10,000 Kepada Pemenang Emas SUKMA