Berita

Kemaskini: 29/07/2026 07:57 PM

Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) Shamsuddin Mohd Shah

KOTA KINABALU, 29 Julai (Bernama) -- Stadium Likas di sini sekali lagi dipilih sebagai venue saingan Kumpulan A pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA) Shamsuddin Mohd Shah berkata pusingan kelayakan itu membabitkan empat pasukan iaitu tuan rumah Sabah FA, East Bengal FC dari India, Rovers FC dari Guam dan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh.

Beliau berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sekali lagi mencerminkan keyakinan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terhadap kemampuan negeri itu menganjurkan kejohanan bola sepak bertaraf antarabangsa.

"Lebih membanggakan, ini merupakan kali kedua Sabah dipilih sebagai tuan rumah kejohanan berkenaan selepas kali pertama diberikan kepercayaan menganjurkannya pada 2024.

"Pemilihan Sabah buat kali kedua merupakan satu penghormatan dan bukti kepercayaan kepada SAFA serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan penganjuran kejohanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsuddin berkata SAFA akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan semua aspek persediaan, termasuk venue pertandingan, logistik, keselamatan serta keperluan pasukan dan pegawai kejohanan, diberi perhatian.

Beliau berkata penganjuran kejohanan itu turut membuka peluang kepada peminat bola sepak tempatan menyaksikan aksi bola sepak wanita di peringkat Asia, selain memberi pendedahan antarabangsa kepada Sabah FA.

Shamsuddin berharap penyokong bola sepak di Sabah tampil memberikan sokongan padu kepada kejohanan itu, khususnya kepada Sabah FA yang membawa cabaran Malaysia dalam saingan berkenaan.

"Kami berharap penyokong bola sepak Sabah akan hadir memberikan sokongan kepada Sabah FA sepanjang kejohanan berlangsung di Stadium Likas," katanya.

-- BERNAMA