Berita
Proram Ikan Rakyat Sabah Perkukuh Keterjaminan Makanan, Sokong Nelayan -- SAFMA
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 27 Julai (Bernama) -- Program Ikan Rakyat Sabah yang dikendalikan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negeri sekali gus memastikan bekalan ikan segar berkualiti yang berterusan pada harga berpatutan.
Pengurus Besarnya Burhan Japar berkata program berkenaan diperkenal bagi memastikan semua lapisan masyarakat terutamanya kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana mendapat akses kepada sumber protein berkualiti tanpa dibebani oleh peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata program itu memberi manfaat kepada pengguna serta meningkatkan pendapatan nelayan tempatan menerusi pembelian terus hasil tangkapan mereka sekali gus mewujudkan rantaian bekalan perikanan yang lebih cekap dan mampan.
"Program ini memastikan bekalan yang mencukupi, segar dan selamat untuk dimakan manakala kesejahteraan ekonomi komuniti nelayan pula diperkukuh bagi menyokong pembangunan industri perikanan Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menyertai program Road to MAHA 2026 Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di sini hari ini.
Burhan memberitahu penyertaan SAFMA dalam acara Road to MAHA 2026 Labuan turut menjadi platform untuk mempromosikan program berkenaan selain mempamerkan perkhidmatan, produk berasaskan makanan laut serta peluang yang ditawarkan melalui pendaftaran program Rakan Perniagaan SAFMA.
Katanya, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat mengenai produk makanan laut, menikmati hidangan "Menu Rakyat" berasaskan makanan laut serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang dianjurkan sepanjang pameran berkenaan berlangsung.
Burhan menjelaskan selaras dengan aspirasi ekonomi biru Sabah untuk memanfaatkan dan memelihara sumber marin serta pesisir pantai, SAFMA akan terus memperluas Program Ikan Rakyat Sabah melalui pembangunan kemudahan bilik sejuk beku, bekalan ais blok dan produk makanan laut bernilai tambah.
Selain itu, turut diperluas rangkaian pengedaran yang lebih banyak serta pelaksanaan inisiatif perikanan sifar sisa.
"Program Ikan Rakyat Sabah bukan sekadar menyediakan ikan pada harga berpatutan. Ia merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina ekosistem perikanan yang lestari, meningkatkan taraf hidup nelayan serta melindungi keterjaminan makanan untuk rakyat," katanya.
Sebagai sebahagian daripada lawatan kerja ke Labuan, delegasi SAFMA turut melawat Pasar Ikan Labuan dan Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi meninjau operasi pemasaran ikan serta rantaian bekalan perikanan di wilayah persekutuan tersebut.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong