Berita
Sabah Salur RM90 Juta Bantu Sekolah Cina, Mubaligh Dan Badan Keagamaan Bukan Islam
SANDAKAN, 25 Julai (Bernama) -- Program bantuan kewangan kepada sekolah persendirian Cina, sekolah mubaligh dan badan-badan keagamaan bukan Islam di Sabah telah meningkat lebih 100 peratus daripada RM43 juta pada 2020 kepada RM90 juta tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sejak Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diberi mandat mentadbir negeri ini pada 2020, bantuan kewangan tahunan kepada sekolah Cina, mubaligh dan badan keagamaan bukan Islam terus ditingkatkan secara konsisten.
“Pada tahun ini, kerajaan mengambil langkah untuk menaikkan jumlah keseluruhan bantuan kepada RM90 juta,” katanya dalam kenyataan selepas majlis penyerahan bantuan kewangan kepada sekolah-sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam 2026 bagi zon pantai timur Sandakan di sini hari ini.
Hajiji berkata peningkatan bantuan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus membantu institusi pendidikan dan keagamaan yang berperanan penting dalam pembangunan modal insan, perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Sabah.
“Adalah diharapkan sumbangan ini dapat membantu sedikit sebanyak aktiviti sekolah-sekolah dan badan-badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah,” katanya.
Hajiji berkata peningkatan berterusan sejak 2020 membuktikan bahawa apabila ekonomi negeri semakin kukuh dan kedudukan kewangan kerajaan stabil, manfaatnya akan dikembalikan kepada rakyat.
“Inilah komitmen Kerajaan GRS dalam memastikan setiap komuniti di Sabah mendapat perhatian yang adil serta menikmati hasil pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata RM9 juta diluluskan bagi zon pantai timur Sabah merangkumi Sandakan, Beluran, Tongod, Telupid, Paitan, Kinabatangan dan Sukau, meningkat RM2 juta berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata RM4.41 juta daripadanya diperuntukkan kepada 42 institusi pendidikan terdiri daripada sebuah sekolah persendirian Cina, dua sekolah menengah jenis kebangsaan, 10 sekolah jenis kebangsaan Cina, sembilan sekolah rendah dan menengah kebangsaan mubaligh, 18 tadika serta dua sekolah swasta mubaligh.
Katanya, RM4.58 juta diperuntukkan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam melibatkan 96 gereja daripada sembilan denominasi, 27 tokong dan dua kuil.
“Pada tahun ini juga, sebanyak 46 permohonan baharu daripada gereja telah diluluskan. Saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi tujuan penyelenggaraan, penambahbaikan kemudahan, pembangunan pendidikan dan aktiviti kerohanian demi manfaat masyarakat setempat,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong