Berita
Sabah Sasar Tingkat SSR Daging Ruminan Kepada 25 Peratus Menjelang 2030
KOTA KINABALU, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah menyasarkan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) daging ruminan kepada 25 peratus menjelang 2030 berbanding 7.05 peratus pada ketika ini, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Hendrus Anding berkata pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan negeri bagi mencapai sasaran itu termasuk memperuntukkan RM24.3 juta bagi menaik taraf ladang ternakan milik kerajaan di seluruh negeri.
Beliau berkata peruntukan menerusi Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) Sabah itu merangkumi pembangunan 11 ladang ruminan besar bernilai RM12.5 juta di daerah termasuk di Keningau, Kudat, Telupit, Tawau dan Kota Belud.
“Sebanyak RM7 juta pula diperuntukkan bagi pembangunan lima ladang ruminan kecil di Bongawan, Ranau, Telupit, Kunak dan Lahad Datu manakala RM4.8 juta kepada dua ladang bukan ruminan, iaitu Ladang Unggas Bantayan dan Ladang Itik Yonsom,” katanya.
Hendrus berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Dr Daud Yusof (Warisan-Bongawan) yang ingin tahu usaha menaik taraf ladang ruminan dan bukan ruminan milik kerajaan negeri bagi meningkatkan pengeluaran dan seterusnya mengukuh sekuriti makanan.
Beliau berkata usaha kerajaan negeri itu dijangka meningkatkan pengeluaran daging ruminan besar sebanyak 199 peratus, iaitu daripada 126 ekor setahun pada tahun ini kepada 377 ekor menjelang 2030 manakala pengeluaran baka meningkat 78 peratus kepada 752 ekor setahun.
Bagi ruminan kecil, beliau berkata pengeluaran daging dijangka melonjak 486 peratus daripada 121 ekor kepada 710 ekor setahun manakala pengeluaran baka meningkat 233 peratus kepada 916 ekor setahun pada 2030.
“Selain menaik taraf ladang, sasaran SSR daging turut disokong menerusi program integrasi kelapa sawit, Program Mensejahterakan Ekonomi Penternak Kambing Sabah (MEPKAS) dan pembangunan sumber genetik,” katanya.
Mengenai ternakan bukan ruminan, Hendrus berkata keperluan ayam pedaging negeri sebanyak 35 juta ekor setahun telah dipenuhi sepenuhnya oleh pihak swasta dengan SSR sedia ada melebihi 100 peratus, iaitu 105.3 peratus.
“Ladang unggas dan itik DVS kini berfungsi sebagai pusat latihan, pembiakan baka khusus serta pembekal anak ternakan bagi program kerajaan seperti Kebun Dapur dan sokongan kepada usahawan penternak skala kecil,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan negeri untuk membangunkan kawasan penternakan bersepadu di daerah yang berpotensi termasuk Semporna bagi memperkukuh aspek keterjaminan makanan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong