Berita
Enam Projek Tebatan Banjir Sabah Dijangka Siap Berperingkat Mulai Julai Ini
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Enam projek tebatan banjir di Sabah yang mencatat kemajuan fizikal melebihi 90 peratus dijangka siap secara berperingkat mulai bulan ini hingga Disember 2026, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata antara projek berkenaan ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rampayan di Menggatal, RTB Sungai Ketiau di Putatan, RTB Kawasan Persekitaran Lido PLSB Sungai Moyog di Penampang, RTB Sungai Padas di Tenom dan RTB Sungai Anip di Sandakan.
Abdul Rahman berkata enam projek itu adalah sebahagian daripada 15 projek serta kajian berkaitan tebatan banjir di Sabah yang sedang dan akan dilaksanakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan anggaran kos keseluruhan RM1.49 bilion.
“Daripada jumlah itu, empat projek berada di peringkat prapelaksanaan, 10 projek sedang dalam pelaksanaan, manakala satu kajian di peringkat pasca pelaksanaan,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Ah Fang Suan mengenai status pelaksanaan projek tebatan banjir di Sabah serta kawasan berisiko tinggi yang terlibat pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Abdul Rahman berkata RTB Sungai Likas dan RTB Sungai Damai di Kota Kinabalu, Projek Mengatasi Banjir Pantai di Sabah serta Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 3 sedang dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.
Beliau berkata projek di peringkat prapelaksanaan pula melibatkan RTB Sungai Tawau Fasa 1A (Pakej 4), RTB Sungai Kedamaian dan Sungai Abai di Kota Belud, RTB Sungai Tangulan di Tuaran serta PLSB Sungai Moyog (Pakej 2A, 3A dan 4).
Katanya keutamaan pelaksanaan projek di kawasan berisiko tinggi ditentukan berdasarkan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir, khususnya rekod kejadian banjir berulang, kepadatan penduduk, pendedahan aset awam serta keperluan intervensi teknikal di lembangan sungai berkaitan.
Abdul Rahman berkata antara kawasan yang dikenal pasti ialah Kota Kinabalu, Menggatal, Putatan, Penampang, Sandakan, Tenom, Tawau, Kota Belud, Pitas, Kota Marudu, Beaufort dan Tuaran.
“PETRA akan terus memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek tebatan banjir di Sabah secara berfasa berdasarkan tahap risiko, kelulusan peruntukan dan keperluan teknikal bagi mengurangkan impak banjir serta meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai langkah interim serta status pemasangan sistem amaran awal banjir dan telemetri JPS di kawasan berisiko tinggi, beliau berkata PRAB Fasa 3 di Sabah bernilai RM142 juta kini mencapai kemajuan 24 peratus dan dijangka siap pada Julai 2029.
Beliau berkata JPS turut melaksanakan langkah jangka pendek menerusi kerajaan negeri, termasuk kerja membaik pulih sungai bagi melancarkan aliran air sementara menunggu projek tebatan banjir disiapkan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong