Berita

Kemaskini: 23/07/2026 12:40 PM

Minimum 80 Peratus Tenaga Kerja Pelaburan Baharu Sabah Untuk Rakyat Tempatan

Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Jonnybone Kurum

KOTA KINABALU, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah menetapkan jumlah minimum 80 peratus daripada kuota tenaga kerja projek pelaburan baharu di negeri itu mesti diisi anak tempatan, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Jonnybone Kurum berkata ketetapan di bawah dasar Sabah First bertujuan memastikan rakyat negeri itu diberikan keutamaan dan peluang lebih luas dalam sektor perindustrian.

Beliau berkata dasar berkenaan dilaksanakan berpandukan syarat Lesen Pengilang (FML) oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang mewajibkan sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja sepenuh masa terdiri daripada rakyat Malaysia semasa fasa pengoperasian.

“Pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh akses pekerjaan kepada rakyat tempatan, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan serta limpahan sosioekonomi yang inklusif kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) yang ingin tahu langkah kementerian dalam memastikan peluang pekerjaan daripada pelaburan baharu memberikan keutamaan kepada anak Sabah.

Bagi memperkasakan inisiatif itu, Jonnybone berkata kementerian tersebut sedang bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sabah dan pelabur untuk melaksanakan program padanan pekerjaan berdasarkan pangkalan data pencari kerja sedia ada.

“Kerjasama ini turut merangkumi perancangan pelaksanaan program peningkatan kemahiran, latihan semula serta pensijilan yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan bidang pekerjaan ditawarkan pelabur,” katanya.

Beliau berkata kementerian akan terus meneliti inisiatif local content yang bersesuaian agar manfaat kemasukan pelaburan ke Sabah dapat dinikmati secara langsung dan berterusan oleh rakyat negeri itu.

-- BERNAMA