Berita

Kemaskini: 23/07/2026 11:39 AM

Langkah Jangka Pendek, Panjang Dirangka Tangani Kesesakan Di Ranau, Kundasang

Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam

KOTA KINABALU, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah merangka dan melaksanakan pelbagai langkah jangka pendek dan panjang bagi menangani isu kesesakan lalu lintas di Pekan Ranau dan Kundasang, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata langkah berkenaan merangkumi pembinaan laluan alternatif, penyediaan lorong memotong serta pelaksanaan projek strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri berkata bagi langkah jangka pendek, kerajaan sedang melaksanakan projek Naik Taraf Jalan Kampung Mohimboyon-Lipantai-Pahu sepanjang enam kilometer (km) yang kini mencapai kemajuan fizikal 69.69 peratus dan dijangka siap tahun hadapan.

"Setelah siap kelak, projek ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan pengguna kepada laluan utama, sekali gus membantu mengagihkan aliran trafik antara Pekan Kundasang dan Pekan Ranau," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Rusdin @ Musidi Riman (KDM-Paginatan) mengenai langkah kerajaan mengatasi kesesakan di kawasan berkenaan yang serius pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan perayaan.

Dr Joachim berkata satu lagi laluan alternatif yang sedang dibina ialah projek Naik Taraf Jalan Tambiau-Sarapong sepanjang 4.05km dengan kemajuan fizikal 5.42 peratus dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2028.

Selain itu, katanya Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah turut mengemukakan 10 cadangan pembinaan lorong memotong dan mendaki bagi melancarkan pergerakan trafik serta mengurangkan risiko kemalangan di laluan berbukit.

Beliau memaklumkan sebanyak RM2.3 juta diperuntukkan pada 2025 bagi pelaksanaan projek berkaitan di tiga lokasi sepanjang Jalan Kota Kinabalu-Sandakan, manakala RM560,000 diperuntukkan pada 2026 untuk satu lagi lokasi di jalan yang sama.

Mengulas mengenai langkah jangka panjang, beliau berkata kerajaan meluluskan kajian dan reka bentuk terperinci pembinaan Jalan Ranau Bypass dari Bundu Tuhan ke Kilimu sepanjang 30km yang turut merangkumi tiga jambatan.

Katanya jalan pintasan baharu itu bakal memudahkan pengguna yang menuju ke Sandakan terus merentasi kawasan berkenaan tanpa perlu melalui Pekan Kundasang dan Ranau, sekali gus mengurangkan kesesakan secara signifikan.

Dr Joachim berkata kerajaan juga meluluskan projek Naik Taraf Jalan Kampung Mesilau-Kampung Lipasu sepanjang 8.0km daripada jalan gravel kepada berturap di bawah RMK13 dengan kos projek RM138.661 juta.

"Projek ini kini dalam fasa pelantikan jurutera perunding bagi penyediaan reka bentuk terperinci sebelum diteruskan ke fasa pembinaan fizikal," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan projek-projek berkenaan akan melengkapkan rangkaian jalan raya di kawasan tersebut, seterusnya memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan tahap keselamatan pengguna.

-- BERNAMA