Berita
DUN Sabah Lulus Ruu Pewarisan Orang Islam, Mahkamah Anak Negeri
KOTA KINABALU, 22 Julai (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pewarisan Orang Islam 2026 dan Rang Undang-Undang Mahkamah Anak Negeri 2026.
Kedua-dua RUU itu dibentangkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Arif yang juga bertanggungjawab dalam portfolio Hal Ehwal Agama Islam negeri.
RUU Pewarisan Orang Islam 2026 diluluskan setelah dibahaskan lima Ahli DUN di hadapan Speaker DUN Sabah Datuk Seri M Kadzim Yahya, manakala RUU Undang-Undang Mahkamah Anak Negeri 2026 di hadapan Timbalan Speaker Datuk Richard Wong We Kong setelah dibahas 12 Ahli DUN.
Mohd Arifin ketika membentangkan RUU Pewarisan Orang Islam berkata ia untuk menyediakan sistem lebih teratur, jelas dan berkesan berdasarkan empat faktor.
“Faktor itu termasuk keperluan mewujudkan perundangan berkaitan pewarisan orang Islam secara lebih sistematik serta melindungi hak dan kepentingan semua waris serta pihak berkepentingan dalam sesuatu harta pusaka.
“Memperkemas pentadbiran harta pusaka mengikut hukum syarak; serta memperkukuh pematuhan dan penguatkuasaan agar harta pusaka, harta si mati tidak disalahgunakan, disembunyikan, dilupuskan atau diuruskan tanpa kebenaran yang sewajarnya,” katanya.
Mohd Arifin berkata RUU itu merupakan undang-undang pertama di Malaysia yang khusus berkaitan pengurusan harta pusaka orang Islam di bawah punca kuasa dan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Bagi RUU Mahkamah Anak Negeri 2026, Mohd Arifin berkata enakmen baharu menggantikan enakmen sedia ada dicadang bagi menyediakan kerangka perundangan lebih komprehensif tersusun dan responsif terhadap perkembangan sistem kehakiman serta aspirasi anak negeri Sabah.
Katanya enakmen sedia ada telah berkuat kuasa sejak 1992 dan selepas lebih tiga dekad, pembaharuan menyeluruh diperlukan supaya sistem kehakiman adat dapat memenuhi keperluan semasa tanpa menghilangkan akar, identiti dan keunikan adat Anak Negeri Sabah.
Beliau berkata RUU itu akan memperkemas hierarki Mahkamah Anak Negeri melalui Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri.
“Dari sudut pelantikan kehakiman, RUU ini memperkenalkan Jawatankuasa Penasihat Pelantikan Kehakiman Anak Negeri yang menyediakan penilaian dan syor pelantikan lebih telus, berasaskan merit, kelayakan, pengalaman, pengetahuan adat dan integriti.
“Pelantikan hakim tidak lagi dilihat semata-mata berdasarkan jawatan pentadbiran tetapi berdasarkan keupayaan sebenar untuk melaksanakan tanggungjawab kehakiman,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong