Berita

Kemaskini: 22/07/2026 11:22 AM

Agro Padi-iSalam Diperkenal, Pembiayaan Patuh Syariah Pertama Bantu Pesawah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Hasan (tiga, kiri) menyempurnakan simbolik pelancaran AGRO Padi-i Salam AgroBank sempena perasmian Muzakarah Cendikawan Syariah Nusantara Ke-20 in Kota Kinabalu. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA.

KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Agrobank hari ini memperkenal Agro Padi-iSalam, iaitu kemudahan kewangan patuh syariah yang direka khusus untuk membantu pesawah di negara ini membiayai kos operasi penanaman padi secara lebih sistematik, mampan dan inklusif.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata inovatif berlandaskan Maqasid Syariah itu adalah pertama seumpamanya di Malaysia menjadikan Agrobank perintis dalam memperkenal pembiayaan melalui kontrak Bai' Salam khusus untuk pesawah.

Beliau berkata produk itu ditawarkan kepada pesawah di kawasan jelapang dan luar jelapang dengan sistem pengurusan sawah tersusun termasuk mereka yang menjual hasil kepada Padiberas Nasional Berhad, Pertubuhan Peladang Kawasan, kilang padi komersial atau pembeli pihak ketiga.

“Produk ini membolehkan pembiayaan disalurkan kepada pesawah di seluruh negara termasuk di Sabah. Mereka memerlukan modal bagi menampung kos operasi penanaman dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelum memperoleh hasil tuaian.

“Dalam konsep ini, kita menyediakan pembiayaan kepada petani dengan kadar keuntungan rendah bagi membolehkan mereka menggunakannya untuk membeli benih, racun, menyewa jentera serta menampung keperluan sehingga memperoleh hasil padi.

“Ini merupakan konsep baharu dalam perbankan Islam di Malaysia yang menggunakan kontrak Bai' Salam berbeza daripada konsep Murabahah, Mudarabah atau Tawarruq," katanya kepada pemberita selepas peluncuran produk Agrobank Padi-iSalam di sini hari ini.

Peluncuran itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pada Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-20 di sini hari ini.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata melalui produk berkenaan, pesawah boleh mendapatkan pembiayaan bermula RM1,000 sehingga RM50,000 bergantung kepada keluasan tanaman dan kos sebenar penanaman.

Beliau berkata tempoh pembiayaan ditawarkan adalah sehingga enam bulan bagi setiap musim penanaman dengan kemudahan boleh diperbaharui sehingga lima tahun dan pembiayaan tidak memerlukan cagaran atau penjamin individu.

Katanya pendekatan itu bertujuan memudahkan akses kepada pembiayaan bagi golongan pesawah yang layak iaitu pesawah individu berumur antara 18 tahun pada tarikh permohonan sehingga tidak melebihi 70 tahun pada tarikh matang pembiayaan.

"Kira-kira 230,000 pesawah di seluruh Malaysia berdaftar dengan Lembaga Pertubuhan Peladang masing-masing. Kita sentiasa menerima permintaan pembiayaan modal daripada pesawah dan menyantuni antara 20,000 hingga 30,000 pesawah setiap tahun bagi tujuan itu,” katanya.

Beliau memaklumkan Agrobank mengeluarkan lebih RM70 juta setahun untuk modal pusingan pesawah menanam padi.

Beliau berkata inovasi pembiayaan itu juga mencerminkan komitmen Agrobank untuk menerajui penyelesaian kewangan yang memenuhi keperluan sebenar sektor pertanian, di samping memperluas akses kepada pembiayaan patuh syariah bagi komuniti pesawah.

Menerusi Agro Padi-i Salam, Tengku Ahmad Badli Shah berkata institusi kewangan itu berharap dapat membantu pesawah memperoleh akses pembiayaan lebih mudah bagi mengurus kos operasi penanaman, sekali gus meningkatkan produktiviti dan pendapatan mereka.

"Industri padi kini berkembang dengan penggunaan teknologi tinggi seperti jentera moden dan dron bagi membantu proses penanaman serta aplikasi baja di kawasan sawah.

“Justeru, pembiayaan ini turut disalurkan kepada kelompok pesawah di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang dan Pertubuhan Peladang Negeri bagi membolehkan mereka memperoleh jentera bersesuaian.

“Usaha ini bagi membolehkan teknologi moden dimanfaatkan dengan lebih menyeluruh,” katanya sambil menambah insiatif Agro Padi-i Salam turut mencerminkan komitmen Agrobank dalam memperkukuh ekosistem padi dan beras negara demi menjamin bekalan makanan mampan untuk rakyat Malaysia.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Agro Padi-i Salam boleh mengunjungi mana-mana cawangan Agrobank di seluruh negara atau melayari laman sesawang rasmi Agrobank di www.agrobank.com.my.

-- BERNAMA