Berita

Kemaskini: 21/07/2026 07:26 PM

Laluan Motosikal Dicadang Dibina Hubungkan Kampung Terpencil Di Nabawan

Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin

KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Laluan motosikal sepanjang kira-kira 30 kilometer dicadang dibina bagi menghubungkan beberapa kampung terpencil di Nabawan yang masih terputus dari jaringan jalan raya sejak negara mencapai kemerdekaan.

Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) berkata laluan itu dicadang dibina dari Kampung Sinapar ke Kampung Saliliran sepanjang kira-kira 10 kilometer dan diteruskan dari Kampung Saliliran ke Kampung Baru sejauh 20 kilometer.

Beliau berkata penduduk Kampung Saliliran dan Kampung Kabu ketika ini perlu melalui beberapa kampung lain untuk sampai ke kawasan berkenaan sekali gus menyukarkan pergerakan serta aktiviti harian mereka.

“Saya memohon agar perkara ini dapat diambil perhatian dengan serius serta dipertimbangkan, dan besarlah harapan saya dan rakyat di kawasan saya agar melalui Rang Undang-Undang Perbelanjaan Tambahan ini, perkara ini dapat diambil perhatian serta diluluskan,” katanya.

Abdul Ghani berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Pekan Nabawan, yang terletak kira-kira 180 kilometer dari Kota Kinabalu, adalah antara daerah pedalaman di bahagian selatan Sabah.

Abdul Ghani turut meminta kerajaan menambah peruntukan bagi penyelenggaraan sungai, anak sungai, jalan bekas balak dan jalan pertanian di Nabawan yang sering mengalami kerosakan ketika musim hujan.

Beliau berkata keadaan itu menyukarkan penduduk khususnya petani untuk membawa hasil pertanian mereka ke pasaran.

Turut dibangkitkan kelewatan projek Jambatan Sungai Pancuran dan Jambatan Jalan Kraftangan yang juga antara laluan utama ke Pekan Nabawan.

Abdul Ghani berkata projek Jambatan Sungai Pancuran sebelum ini berdepan isu peruntukan tidak mencukupi bagi pengalihan utiliti manakala pembinaan Jambatan Jalan Kraftangan pula mengalami kelewatan dan kemajuan kerja yang perlahan.

“Projek ini amat dinanti-nantikan kerana ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya malah menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA