Berita

Kemaskini: 21/07/2026 08:01 PM

Pulau Banggi Mohon Projek Jalan Lebih RM300 Juta

Datuk Mohamad Mohamarin

KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dimohon mempertimbangkan pembinaan jalan berturap atau konkrit sepanjang kira-kira 37 kilometer (km) dari Kampung Maliyu ke Kampung Dogoton di Pulau Banggi, Kudat membabitkan anggaran peruntukan lebih RM300 juta.

Datuk Mohamad Mohamarin (GRS-Banggi) berkata permohonan bagi projek yang dicadangkan untuk dilaksanakan dalam tiga fasa itu telah dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan beliau ke Pulau Banggi pada 9 Mei lepas.

Beliau berkata projek berkenaan penting bagi meningkatkan jaringan perhubungan di pulau itu yang ketika ini mempunyai kira-kira 81 km jalan utama.

“Hanya 14 km yang berturap, itu pun ketika ini berada dalam keadaan uzur. Jadi, saya mahu bertanya juga kepada Kementerian Kerja Raya Negeri Sabah adakah 14 km jalan yang berturap tetapi uzur ini, yang mana keadaannya banyak lubang dan telah mengakibatkan beberapa kemalangan jiwa termasuk dalam bajet atau pelaksanaan tahunan?” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata jumlah 81 km itu juga belum merangkumi jaringan jalan di Pulau Balambangan, Tanjung Manawali, Pulau Sibogo dan Pulau Tigabu yang terletak di bawah DUN Banggi.

Menurut Mohamad, walaupun beberapa projek pembangunan telah diumumkan menerusi lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Perdana Menteri ke Pulau Banggi, kawasan itu masih memerlukan suntikan dana besar bagi menangani kekurangan kemudahan asas yang berlarutan sejak puluhan tahun.

Beliau turut memohon agar kerajaan negeri mempertimbangkan projek tenaga angin berkapasiti antara 15 hingga 50 megawatt bagi menyediakan bekalan elektrik lebih baik serta merancakkan kegiatan ekonomi di Pulau Banggi.

-- BERNAMA