Berita
Program PANTAS Ukur 25,591 Lot Tanah Di Sabah Sejak 2020
KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) berjaya mengukur 25,591 lot melibatkan keluasan keseluruhan 33,891.181 hektar di seluruh negeri dari Januari 2020 hingga Jun tahun ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih berkata program itu merupakan inisiatif kerajaan bagi mempercepat kerja pengukuran tanah Anak Negeri telah diluluskan, sekali gus memudahkan proses pengeluaran hak milik tanah kepada pemohon yang layak.
Beliau berkata sebanyak 53 pasukan juruukur ditugaskan untuk menjalankan kerja pengukuran tanah di seluruh daerah menerusi program berkenaan.
“Bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2026, Program PANTAS telah menerima peruntukan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM83 juta.
“Pada 2026, peruntukan berjumlah RM1 juta telah pun disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur bagi pelaksanaan program tersebut. Sebanyak 53 pasukan Juruukur telah ditugaskan untuk menjalankan kerja- kerja pengukuran tanah di seluruh daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Usukan) mengenai jumlah peruntukan serta keluasan tanah yang berjaya diukur menerusi program itu.
Menjawab soalan tambahan Isnaraissah sama ada peruntukan berkenaan mencukupi, Isnin berkata dana yang ada dijangka dapat menampung pelaksanaan Program PANTAS hingga akhir tahun depan.
“Peruntukan yang kita terima daripada persekutuan sebenarnya setakat hari ini mencukupi hingga hujung tahun hadapan. Kita lebih kurang ada lagi dalam simpanan lebih kurang RM8 juta,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 26,808 permohonan tanah masih dalam tindakan di pejabat tanah daerah di seluruh Sabah setakat 30 Jun lepas.
Isnin berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sedang memperkukuh pemantauan pada setiap peringkat pemprosesan, mempercepat pengukuran tanah yang telah diluluskan serta meningkatkan penggunaan peralatan ukur moden dan sistem pendigitalan.
Beliau berkata tempoh penyelesaian setiap permohonan bergantung kepada beberapa faktor termasuk status tanah, pertindihan permohonan, keperluan siasatan dan semakan teknikal serta kekangan tenaga kerja.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong