Berita

Kemaskini: 21/07/2026 06:09 PM

Sabah Pertimbang Insentif Galak Penduduk Kutip Sampah Terutama Di Semporna

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Fairuz Renddan

KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah sedang mempertimbangkan pemberian insentif berbentuk barangan keperluan atau wang tunai kepada penduduk yang mengumpulkan sampah, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Fairuz Renddan berkata cadangan itu antara perkara dibincangkan ketika lawatan bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ke Semporna baru-baru ini bagi meningkatkan tahap kebersihan, khususnya di kawasan perkampungan dan pesisir pantai.

“Ada antara cadangan supaya satu bakul sampah itu ditukar mungkin dengan satu pek minyak ataupun ringgit, supaya kita boleh ubah kita punya mentaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Calvin Chong Sin Wun (Warisan-Elopura) yang mencadangkan kaedah pemberian bayaran, antaranya RM2 bagi setiap kilogram sampah dikumpulkan, bagi menggalakkan masyarakat termasuk golongan muda terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Fairuz berkata selain perkhidmatan pemungutan sampah yang dilaksanakan pihak konsesi, kerajaan turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk kampung untuk membersihkan kawasan perairan di Semporna.

Terdahulu menjawab soalan Jamil Hamzah (Warisan-Bugaya), beliau berkata pembinaan tapak pelupusan sampah baharu di Semporna kini dalam proses pelantikan kontraktor bagi melaksanakan kerja pembinaan.

Beliau berkata aktiviti pembersihan sampah di darat dan laut, khususnya di kawasan perairan serta pesisir pantai destinasi pelancongan itu, turut dilaksanakan secara berterusan.

“Usaha-usaha ini masih giat dijalankan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebersihan kawasan pelancongan sentiasa terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA