Berita
Model Santuari Gajah Tawau Bakal Diperluas Ke Daerah Lain Jika Berjaya
KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Model santuari gajah yang sedang dirancang di Tawau berpotensi diperluas ke daerah lain di Sabah, sekiranya berjaya menangani konflik antara manusia dan hidupan liar di kawasan berkenaan, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata kerajaan negeri sedang meneliti cadangan penubuhan santuari itu bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan pihak berkaitan.
“Ini adalah langkah permulaan yang kita akan tengok dan sekiranya perkara ini berlaku dan berjaya kita akan bawa modus operandi ini ke daerah-daerah yang lain,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang mencadangkan kerajaan negeri menyediakan kawasan khusus bagi menempatkan hidupan liar, sekali gus menjadikannya sebagai tarikan pelancongan.
Menjawab soalan lisan Arunarnsin Taib (Warisan-Gum-Gum) tentang usaha menangani masalah haiwan liar merosakkan tanaman dan pendapatan petani, Dr Andi berkata kerajaan negeri menerusi kementeriannya dan Jabatan Hidupan Liar Sabah sentiasa mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani konflik berkenaan.
Dr Andi Md Shamsureezal berkata pendekatan kerajaan merangkumi langkah segera bagi mengurangkan risiko konflik melibatkan gajah Borneo, babi hutan, monyet serta spesies lain di lapangan serta strategi jangka panjang menumpukan pengurusan konflik secara mampan berdasarkan sifat ekologi setiap spesies, punca konflik dan keadaan sesuatu kawasan.
Beliau berkata kaedah menangkap dan memindahkan hidupan liar bukan penyelesaian jangka panjang kerana tindakan itu hanya memindahkan masalah ke kawasan lain tanpa menangani punca sebenar konflik secara menyeluruh.
“Antara usaha yang dilaksanakan ialah penubuhan pasukan renjer pengiring gajah melibatkan komuniti setempat di kawasan konflik, pemasangan kolar satelit pada gajah tertentu bagi memantau pergerakan serta memberi amaran awal kepada komuniti berisiko,” katanya.
Jabatan Hidupan Liar Sabah turut melaksanakan pengurangan populasi monyet secara terkawal di kawasan tertentu bagi mengawal risiko penyakit zoonotik dan keselamatan awam, selain tindakan kawalan terhadap babi hutan mengikut peruntukan undang-undang, penilaian risiko dan aduan di kawasan terjejas.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong