Berita

Kemaskini: 21/07/2026 07:18 PM

Sabah Disaran Bangun Rumah SMJ Bertingkat Di Kawasan Kekurangan Tanah

Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari (kiri), Datuk Hazem Mubarak Musa (kanan)

KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah disaran membangunkan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) secara bertingkat khususnya di kawasan bandar dan separa bandar yang berdepan dengan  kekurangan tanah serta pertambahan penduduk.

Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari (Bebas-Petagas) berkata pendekatan itu perlu dipertimbangkan bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah berbanding pembinaan kediaman secara individu yang memerlukan kawasan tanah lebih luas.

Beliau berkata kawasan seperti Petagas, Tanjung Aru dan Pantai Manis mempunyai keluasan tanah terhad, namun menampung jumlah penduduk yang semakin bertambah.

“Kalau di kawasan saya sendiri di Petagas saya telah buat kajian berdasarkan kepada kampung-kampung yang ada, dan berdasarkan juga kepada dua kampung yang telah saya gazet untuk menjadi. Saya rasa SMJ di Petagas itu sudah hampir 50 orang.

“Mereka memohon rumah tapi tidak ada tanah, saya mohon tanah saya jadikan rizab kampung malah ada yang sedikit-sedikit seorang dua mungkin empat lima orang yang bergeran,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Awang Ahmad Sah yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah berkata kos pembinaan rumah SMJ bertingkat mungkin lebih tinggi daripada peruntukan RM100,000 bagi sebuah rumah ketika ini, namun kerajaan boleh mempertimbangkan penambahan subsidi bagi memastikan kediaman berkenaan kekal mampu dimiliki.

Menurutnya, kerajaan perlu mula merancang pembangunan perumahan bertingkat dengan lebih serius kerana golongan berpendapatan rendah semakin sukar mendapatkan tanah atau membeli rumah, khususnya di kawasan berhampiran bandar.

Sementara itu, Datuk Hazem Mubarak Musa (GRS-Sungai Manila) meminta kerajaan negeri mempercepat usaha menghidupkan dan merancakkan semula perdagangan barter di Sandakan bagi merangsang kegiatan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada rakyat.

Beliau berkata cadangan menghidupkan semula kegiatan perdagangan itu pernah dibangkitkan pada persidangan DUN sebelum ini.

“Saya berharap langkah menghidupkan dan merancakkan semula perniagaan barter ini tidak akan menunggu masa yang lama,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan.

Hazem berkata permohonan peruntukan tambahan RM1.612 bilion memperlihatkan kesungguhan dan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan Sabah terus maju serta membangun menerusi perancangan yang dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.

Menurutnya, Sabah boleh mengambil iktibar daripada kemajuan Sarawak, namun pembangunan negeri itu perlu dilaksanakan mengikut pendekatan dan acuannya sendiri.

-- BERNAMA