Berita
Cadangan Tamu Kota Belud Ke UNESCO Perlukan Kajian Menyeluruh
KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Cadangan mengiktiraf Tamu Kota Belud sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memerlukan penelitian dan persediaan menyeluruh, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dimaklumkan hari ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Dr Andi Md Shamsureezal berkata ia juga perlu melalui proses penilaian kompleks serta mengambil tempoh masa yang panjang sebelum dapat dipertimbangkan untuk pencalonan.
Beliau berkata antara keperluan utama termasuk kajian menyeluruh terhadap elemen warisan budaya ketara dan tidak ketara, pendokumentasian sumber warisan termasuk sebarang struktur atau tinggalan bersejarah berkaitan.
“Selain itu, penyediaan bukti sejarah dan saintifik yang kukuh, serta pembuktian Outstanding Universal Value (OUV) mengikut kriteria ditetapkan UNESCO,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Datuk Mohd Arsad Bistari (GRS-Tempasuk) mengenai inisiatif mengiktiraf tapak tamu Kota Belud sebagai tapak warisan dunia dan Geopark pada persidangan DUN di sini hari ini.
Dr Andi berkata daerah Kota Belud telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) sejak Mei 2023.
“Taman-Taman Sabah selaku agensi peneraju telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh pemuliharaan dan promosi warisan budaya di daerah tersebut melalui penganjuran Tamu Geopark,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu mengangkat Tamu Kota Belud sebagai platform mempromosikan gastronomi, pakaian tradisional, kraftangan, seni budaya, produk tempatan dan geoproduct berasaskan komuniti, di samping meningkatkan nilai tambah pelancongan serta menjana manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong