Berita
Benteng Penahan Diperlukan Segera Atasi Hakisan Sungai Padang
KOTA KINABALU, 20 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sabah diminta menyegerakan pembinaan benteng penahan konkrit di kawasan kritikal sepanjang Sungai Padang, Papar susulan hakisan tebing yang semakin menghampiri kediaman penduduk, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir (GRS-Pantai Manis) berkata hakisan berkenaan bukan lagi isu jangka panjang, sebaliknya ancaman kecemasan yang memerlukan tindakan serta-merta bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Kebimbangan penduduk semakin memuncak apabila melihat krisis hakisan sungai yang kini mula runtuh dengan kadar yang amat agresif di sepanjang tebing Sungai Padang.
“Saya memohon agar sebahagian daripada peruntukan tambahan Kementerian Kerja Raya atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) disalurkan segera untuk membina benteng penahan konkrit di kawasan kritikal sebelum tragedi buruk yang meragut nyawa berlaku,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2026).
Beliau berkata runtuhan tebing sungai itu kini berada terlalu hampir dengan kediaman penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan struktur rumah, khususnya ketika musim tengkujuh.
“Orang kampung di Sungai Padang tidur malam dalam keadaan tidak lena, terutamanya pada musim tengkujuh, kerana takut rumah mereka akan roboh dan dihanyutkan oleh aliran sungai yang deras,” katanya.
Pengiran Saifuddin berkata kestabilan tebing sungai turut berkait rapat dengan jaminan bekalan air bersih di Pantai Manis dan daerah Papar, yang sering berdepan gangguan akibat kadar kekeruhan sungai tinggi serta pencerobohan air masin di Loji Rawatan Air Limbahau.
Beliau berkata usaha menaik taraf Loji Rawatan Air Kogopon 2 dan pembinaan muka sauk baharu untuk Loji Rawatan Air Limbahau tidak akan memberi kesan sepenuhnya sekiranya kestabilan tebing serta kebersihan sumber air di hulu sungai terus diabaikan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong