Berita
Pengalihan Utiliti Antara Faktor Kelewatan Pan Borneo Sabah
KOTA KINABALU, 20 Julai (Bernama) -- Isu pengalihan utiliti dikenal pasti antara faktor utama menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
Menteri Kerja Raya dan Utiliti itu berkata pengalihan itu bukan hanya melibatkan pemindahan tiang dan aset elektrik, malah turut merangkumi kabel telekomunikasi serta pelbagai aset utiliti lain yang berada di sepanjang jajaran pembinaan.
Beliau berkata pengalihan utiliti merupakan komponen kritikal kerana kerja-kerja pembinaan tidak dapat dilaksanakan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada atas faktor keselamatan, risiko gangguan bekalan serta kemungkinan kerosakan kepada infrastruktur utiliti.
“Oleh itu, utiliti perlu dialihkan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembinaan dapat diteruskan,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Chin Shu Ying (ADUN Dilantik) mengenai sebab utama kelewatan penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo dan langkah diambil bagi mengatasi masalah itu.
Joachim berkata proses pengalihan utiliti bukan sekadar melibatkan pemindahan aset tetapi juga merangkumi pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti, penyelarasan dengan pemilik utiliti serta pelaksanaan kerja-kerja pengalihan.
Selain itu, proses itu memerlukan koordinasi yang rapi antara semua pihak bagi memastikan pengalihan dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur tanpa menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kepada pengguna.
“Faktor-faktor lain seperti pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu-isu teknikal di tapak serta prestasi pelaksanaan kontraktor turut mempengaruhi kemajuan projek,” katanya.
Joachim berkata kerajaan telah memperkukuh mekanisme penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo dan mesyuarat penyelarasan secara berkala di peringkat tapak.
Katanya, isu kritikal yang memerlukan keputusan dasar turut dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi seperti Kementerian Kerja Raya, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan bersama Kementerian Kerja Raya dan Utiliti bagi mempercepat proses penyelesaian dan mengurangkan impak terhadap pelaksanaan projek.
“Sebagai langkah penambahbaikan bagi pelaksanaan projek infrastruktur pada masa hadapan, kerajaan turut memberi penekanan kepada pelaksanaan kerja-kerja awalan, khususnya penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti, sebelum projek pembinaan dimulakan.
“Pendekatan ini membolehkan isu-isu pelaksanaan dikenal pasti dan diselesaikan lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan semasa fasa pembinaan,” katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Ribut Petir, Hujan Lebat Di Beberapa Negeri Hingga 9 Malam Ini
- Stadium Likas Sekali Lagi Jadi Tuan Rumah Kelayakan AWCL
- Sabah FC Terima Tajaan RM4 Juta Bagi Musim 2026/2027
- Shafie Apdal Dipenjara Lima Minggu Hina Mahkamah Kes zara Qairina
- Peruntukan RM4.6 Bilion Tangani Isu Sekolah Daif Di Sabah Sejak 2023 - Wong