Berita

Kemaskini: 19/07/2026 02:40 PM

Ribuan Kursus, Latihan Percuma Ditawarkan Sempena NTW 2026 Bermula Esok

Kredit: HRD Corp

SANDAKAN, 19 Julai (Bernama) -- Ribuan kursus dan aktiviti peningkatan kemahiran ditawarkan secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira had umur sempena “National Training Week” (NTW) 2026 yang bermula esok.

Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu bagi memantapkan pembelajaran sepanjang hayat dan maklumat boleh diakses di www.nationaltrainingweek.gov.my

Majlis pelancaran program membawa tema “Pelajari, Alami, Kuasai” itu disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan di Dewan Masyarakat Sandakan di sini semalam.

Kredit: HRD Corp

"NTW bukan sekadar program tahunan tetapi satu gerakan nasional untuk membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya ketika merasmikan program itu.

Khairul Firdaus berkata pemilihan Sandakan bagi mengiktiraf peranan penting Sabah dalam agenda modal insan negara, dengan peluang latihan dibuka luas untuk golongan pekerja, usahawan, pekerja gig, suri rumah, serta pesara.

Antara pengisian kursus kontemporari yang disediakan adalah program pemasaran digital, seni animasi kecerdasan buatan (AI), AI prompting, pengendalian dron, sokongan autisme, kursus pelbagai bahasa, serta penyelenggaraan kenderaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp Datuk Rusli Jaafar dalam kenyataan sama menjelaskan, gandingan erat bersama pihak industri dan institusi latihan membolehkan akses pembelajaran percuma itu direalisasikan secara inklusif.

Kempen edisi keempat itu turut diserikan dengan penyampaian insentif khas kepada 149 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM ) 2025 di Parlimen Batu Sapi sebagai galakan meningkatkan kemahiran akademik dan kerjaya.

Selain itu, pengunjung karnival berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti sesi perkongsian ilmu, khidmat nasihat pembangunan kerjaya, serta pameran daripada pelbagai agensi latihan.

Seterusnya, jelajah NTW 2026 akan digerakkan ke seluruh negara sebelum acara kemuncak berlangsung di Pulau Pinang pada 25 dan 26 Julai.

Semakan di portal itu mendapati orang ramai boleh menyertai kursus disediakan sama ada secara dalam talian atau di institusi terpilih berdasarkan kesesuaian kursus masing-masing.

-- BERNAMA